
SARIKEI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei meneruskan inisiatif memperkukuh ilmu keselamatan kebakaran melalui ceramah keselamatan kebakaran dan I-Suri di Pusat Masakan KEMAS Sungai Baron, semalam.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik, berkata program bermula 9.00 pagi hingga 1.00 petang.
“Program memberi penekanan terhadap aspek keselamatan asas serta kemahiran mengendalikan situasi kebakaran di dapur dengan cara yang betul dan selamat.
“Ceramah keselamatan kebakaran bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pemadaman menggunakan alat pemadam api.

“Selain itu, para peserta turut diajar cara memadam api dapur menggunakan kain basah dan kaedah pengendalian tong gas dengan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, program tersebut juga memberi ruang kepada peserta untuk memahami risiko kebakaran domestik serta kepentingan bertindak pantas sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.
“Latihan seperti ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dan kefahaman terhadap tindakan awal yang boleh mengelakkan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda.
“Program kesedaran awam seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran di kediaman mahupun premis,” katanya.
Oleh Earl Anek