
SARIKEI: Paras air Sungai Nyelong didapati stabil dalam rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) tengah malam tadi oleh dua orang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik, berkata rondaan dijalankan pada 12.20 tengah malam sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL dan potensi risiko banjir di kawasan tebing sungai tersebut.
“Rondaan ini memberi tumpuan kepada penilaian paras air dan keadaan cuaca semasa.
“Pemantauan membolehkan kami mengesan awal sekiranya terdapat peningkatan paras air yang boleh membawa risiko banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, hasil rondaan mendapati keadaan adalah stabil dengan trend air surut dan cuaca berada dalam keadaan baik.
“Cuaca baik, paras air terkawal dan tiada panggilan kecemasan diterima semasa rondaan pemantauan,” katanya.
Oleh Earl Anek