
SARIKEI: Tiga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei telah menjalankan pemantauan paras air sungai di kawasan tebingan sungai berhampiran stesen bas dan pasar awam pada tengah malam tadi.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik, berkata ia adalah sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi monsun timur laut (MTL).
“Rondaan pemantauan itu dijalankan sekitar 12.00 tengah malam bagi menilai situasi semasa paras air di kawasan tumpuan awam yang dikenal pasti berisiko banjir.
“Pemantauan mendapati paras air sungai berada dalam keadaan baik dan terkawal walaupun trend air pasang sedang berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, cuaca di kawasan pemantauan adalah baik semasa rondaan pemantauan dijalankan.
“Sepanjang pemantauan, tiada sebarang panggilan kecemasan diterima oleh pihak kami.
“Pemantauan secara berkala akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna kawasan awam sentiasa terjamin sepanjang tempoh MTL,” katanya.
Oleh Earl Anek