
SARIKEI: Dua anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei telah menjalankan rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) pada 12.08 tengah malam tadi bagi menilai paras air di Jalan Wharf.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata rondaan tersebut dilaksanakan sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi potensi peningkatan paras air susulan hujan berterusan yang sering berlaku dalam fasa MTL.
“Rondaan ini dilaksanakan bagi menilai paras air di kawasan rendah berisiko banjir. Pemantauan secara berkala membantu kami merancang tindakan segera jika berlaku situasi yang memerlukan respons pantas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, hasil pemantauan mendapati keadaan terkawal dengan trend air surut meskipun cuaca ketika itu hujan renyai.
“Sepanjang rondaan, paras air berada dalam keadaan terkawal, trend air surut dan tiada panggilan kecemasan diterima.
“Rondaan susulan akan diteruskan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada paras optimum,” katanya.
Oleh Earl Anek