
LIMBANG: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang berjaya memadam kebakaran belukar daripada merebak ke rumah berhampiran dalam kejadian di Kampung Bangkuati malam tadi.
Ketua Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang, Ramlan Marajan berkata sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Satu, Mohd Ismail Assan bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran membabitkan sebuah rumah pada 7.31 malam.
“Setiba pasukan di lokasi yang jauhnya 17 kilometer dari BBP Limbang, kebakaran rupanya melibatkan belukar berhampiran sebuah rumah dan bukan kebakaran rumah seperti yang di laporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramlan berkata anggotanya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula, air dari tangki jentera untuk memastikan api tidak merebak ke rumah yang berhampiran sehingga api padam sepenuhnya.
Katanya, operasi memadam api mengambil masa kira-kira 15 minit dan operasi berakhir pada 8.10 malam tadi.
Oleh Adeng Edrus