

BINTANGOR: Seramai 53 peserta melibatkan murid, guru dan ibu bapa menyertai program ceramah keselamatan kebakaran, demonstrasi serta latihan pengungsian di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kelangas, baru-baru ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program yang bermula pada 10.00 pagi tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesedaran serta kesiapsiagaan warga sekolah dalam menghadapi sebarang kemungkinan insiden kebakaran.
“Program seperti ini amat penting bagi memastikan murid, guru dan kakitangan sekolah memahami tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran.
“Selain itu, melalui latihan tersebut, ia dapat mengurangkan risiko kecederaan dan kerugian harta benda sekiranya berlaku kecemasan kebakaran,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, antara pengisian utama program adalah latihan pengungsian bangunan yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai laluan keluar kecemasan dan tatacara menyelamatkan diri dengan selamat.
“Selain itu, ceramah pencegahan keselamatan kebakaran turut disampaikan bagi meningkatkan kefahaman peserta terhadap punca kebakaran dan langkah-langkah pencegahan awal yang boleh diambil.
“Turut diadakan adalah demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api bagi memberi pendedahan praktikal kepada peserta tentang kaedah penggunaan peralatan keselamatan tersebut dengan betul dan berkesan,” katanya.
Oleh Earl Anek