
BINTANGOR: Usaha mencegah pembakaran terbuka di kawasan berisiko terus diperkasa oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menerusi rondaan rutin di sekitar kawasan jagaan mereka, baru-baru ini.
Menurut Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, rondaan bermula dari 4.40 petang hingga 5.08 petang itu melibatkan dua anggota bomba yang memantau keadaan di lima lokasi utama.
“Lokasi rondaan meliputi Jalan Muhibbah, Jalan Wong You Kee, Perumahan Muhibbah, Jalan Kilang dan Jalan Berjaya,” katanya ketika dihubungi.


ANTARA lokasi rondaan oleh pihak bomba. Foto BBP Bintangor.
Beliau berkata rondaan tersebut merupakan inisiatif berterusan pihak bomba dalam memastikan kawasan yang terdedah kepada risiko kebakaran sentiasa berada dalam kawalan, khususnya dalam cuaca panas dan kering.
“Kami sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang pembakaran terbuka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati semua kawasan terlibat berada dalam keadaan baik, terkawal dan bebas daripada sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
“Saya berharap orang awam sentiasa berwaspada dan tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama di kawasan belukar atau berdekatan kawasan perumahan,” katanya.
Oleh Earl Anek