
JULAU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan menerusi penyertaan dalam pameran sempena Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Kelas B2 Peringkat Parlimen Julau di Kompleks Sukan Julau, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, penyertaan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aspek keselamatan serta memperkenalkan peranan pihak bomba dalam melindungi nyawa dan harta benda.
Katanya, seramai tiga anggota bomba terlibat sepanjang program yang berlangsung dari 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
“Melalui program seperti ini, orang ramai berpeluang mengenali dengan lebih dekat fungsi dan peranan bomba selain meningkatkan pengetahuan mengenai langkah-langkah keselamatan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Antara pengisian yang disediakan ialah pameran peralatan bomba, penyerahan risalah kesedaran awam dan taklimat ringkas berkaitan keselamatan kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pameran peralatan memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri kelengkapan yang digunakan anggota bomba ketika menjalankan operasi menyelamat dan memadam kebakaran.
“Penyampaian risalah serta taklimat ringkas turut memberi penekanan kepada kepentingan mengambil langkah pencegahan awal bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran dan kecemasan.
“Program seumpama ini bukan sahaja mendekatkan pihak kami dengan masyarakat, malah menjadi platform terbaik untuk menyampaikan mesej keselamatan secara berterusan kepada orang ramai,” katanya.
Oleh Earl Anek