
BINTANGOR: Empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah melaksanakan ujian berkala perjalanan bot penyelamat serta enjin 60 kuasa kuda (60HP) di perairan Sungai Rajang, petang semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, ia adalah bagi memastikan kelengkapan tersebut kekal berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan pada bila-bila masa
“Ujian yang bermula 8.00 pagi tersebut melibatkan empat anggota bomba yang ditugaskan untuk menjalankan pengujian menyeluruh terhadap bot penyelamat 14 dan enjin bot Mercury 60HP dengan tumpuan utama terhadap aspek prestasi enjin, kestabilan bot dan kecekapan operasi di atas air.
“Ujian ini merupakan sebahagian daripada prosedur tetap operasi jabatan dalam memastikan aset-aset penyelamatan sentiasa dalam keadaan optimum, terutama dalam menghadapi kecemasan seperti kejadian lemas dan bencana di air,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, ujian berkala amat penting bagi menjamin tahap kesiapsiagaan pihaknya.
“Hasil ujian mendapati bot dan enjin berfungsi dengan baik serta berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.
“Sungai Rajang dipilih sebagai lokasi pelaksanaan kerana ia merupakan laluan utama operasi air di kawasan Bintangor.
“Aset-aset ini perlu diuji secara langsung dalam persekitaran sebenar agar sebarang kelemahan dapat dikenal pasti lebih awal,” katanya.
Selain aspek mekanikal, beliau turut menekankan kepentingan latihan berterusan dalam kalangan anggota bomba agar kecekapan dan refleks dalam situasi sebenar tidak terjejas meskipun menghadapi kekangan masa atau cabaran cuaca.
Oleh Earl Anek