
BINTANGOR: Sebanyak 14 pain darah berjaya dikumpulkan menerusi program Derma Darah 2025 anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei, semalam.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 1.00 petang tersebut diadakan di BBP Bintangor.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, seramai 15 individu termasuk orang awam dan anggota bomba hadir bagi menjayakan program derma darah tersebut.
“Program seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan awam, tetapi juga menjadi ruang mendekatkan pihak bomba dengan komuniti.
“Kami bukan sahaja bertugas menyelamatkan nyawa dalam kebakaran atau kemalangan, tetapi juga berusaha menyumbang secara proaktif kepada misi kemanusiaan seperti ini.
“Setitis darah yang didermakan mampu memberi harapan kepada insan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, komitmen pihaknya dalam melaksanakan program berbentuk sosial dan kemasyarakatan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh hubungan antara agensi keselamatan dan masyarakat setempat.
“Terima kasih kepada semua penderma darah serta Unit Tabung Darah Hospital Sarikei atas kerjasama yang erat bagi menjayakan prpgram ini.
“Semoga sumbangan kecil ini memberi makna besar kepada mereka yang memerlukan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang awam untuk tampil menderma darah pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Earl Anek