
KUCHING: Persidangan Blockchain Borneo 2026 (BBCON 2026) akan kembali pada 18 dan 19 November depan di Hotel Voco oleh IHG, Kuching dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat digital, inovasi serta kerjasama strategik antara akademia, industri dan kerajaan.
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah berkata persidangan itu menjadi platform penting untuk menggalakkan dialog bermakna, perkongsian ilmu serta kolaborasi dalam bidang teknologi digital yang berkembang pesat.
Menurut beliau, BBCON 2026 bukan sekadar menghimpunkan pemain industri dan komuniti teknologi, malah berperanan menghubungkan sektor akademia dengan industri bagi memastikan penyelidikan dan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Persidangan seperti BBCON menyediakan ruang penting untuk pertukaran idea, perkongsian pengetahuan dan kerjasama yang mampu menyokong pembangunan teknologi serta pertumbuhan ekonomi digital,” katanya pada sidang media pengumuman BBCON 2026 di pejabat Business Events Sarawak (BESarawak), Plaza Aurora, hari ini.
Beliau berkata UiTM Sarawak berbesar hati menjadi penganjur bersama rasmi persidangan berkenaan yang menghimpunkan kerajaan, industri, institusi akademik dan komuniti teknologi dalam satu platform kolaboratif.

Katanya, objektif BBCON 2026 juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang menekankan pembangunan bakat, inovasi, penggunaan teknologi digital dan pertumbuhan berasaskan pengetahuan.
Bertemakan “Dari Visi ke Pelaksanaan: Membina Masa Depan Digital yang Selamat”, BBCON 2026 akan memberi fokus kepada infrastruktur digital dipercayai, kecerdasan buatan (AI) dan kriptografi pasca-kuantum dalam usaha mempercepatkan transformasi digital di Sarawak dan rantau ASEAN.
Persidangan yang dianjurkan oleh Persatuan Teknologi Blockchain Kuching (KBTA) dengan kerjasama UiTM Sarawak dan Metadise Sdn. Bhd. itu dijangka menarik lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk pemimpin industri, pembuat dasar, pelabur, penyelidik, syarikat pemula serta pelajar.
Pelbagai program telah dirancang sepanjang persidangan tersebut termasuk sesi ucaptama, forum industri, perkongsian teknikal, pembentangan syarikat pemula serta peluang jaringan profesional yang bertujuan menggalakkan kerjasama dan inovasi dalam ekosistem digital.
Firdaus berkata BBCON 2026 turut mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab inovasi dan pembangunan digital yang semakin berkembang di rantau ini.
Oleh Shikin Mahmud