
PETRA JAYA: Bazar Ramadan Sukma Ria 2026 kembali memeriahkan suasana Ramadan tahun ini dengan penyertaan sebanyak 101 penjaja yang menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa kepada warga kota dan penduduk setempat.
Daripada jumlah tersebut, seramai 77 penjaja makanan, 16 penjaja minuman dan lapan penjaja makanan panggang mengambil bahagian sepanjang penganjuran bazar berkenaan.
Bazar anjuran e-Mart Xpress Sukma Ria bersama rakan kolaborasi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu berlangsung bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026 dari 2.00 petang hingga 7.00 petang setiap hari .
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, bersama Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman .
Ditemui pada majlis tersebut, Sharifah Hasidah melahirkan rasa syukur melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai serta keadaan gerai yang tersusun dan bersih.
“Alhamdulillah begitu ramai yang hadir dan nampaknya semua berjalan dengan baik. Keadaan gerai juga bersih, cantik dan teratur,” katanya.

Beliau turut menggesa semua peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan tapak jualan serta memastikan makanan yang dijual memenuhi aspek kualiti dan keselamatan.
“Yang penting adalah kita sentiasa jaga kualiti makanan, kebersihan makanan dan keselamatan makanan. Ini memang utama apabila kita mengusahakan gerai makanan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan,” tegasnya.
Menurut kenyataan DBKU, semua peniaga diingatkan agar mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan termasuk memastikan tapak jualan sentiasa dalam keadaan bersih dan mematuhi aspek keselamatan makanan sepanjang tempoh operasi.
Bagi memastikan keselesaan pengunjung, DBKU turut membuka kawasan tempat letak kereta di Dewan Serbaguna Taman Sukma bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan bazar.
Sharifah Hasidah berkata kemudahan parkir tambahan itu disediakan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke bazar tanpa berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta.
Dalam pada itu, DBKU turut menekankan pelaksanaan amalan 3R (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula) dengan menyediakan kemudahan tong 3R dan tong kompos di lokasi bazar bagi memastikan pengurusan sisa pepejal dilakukan secara lebih teratur dan lestari.
Penganjuran Bazar Ramadan Sukma Ria bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan kecil dan sederhana menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Oleh Shahrul Qaizat