
KUCHING: Penganjuran bazar Ramadan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sekali lagi membuktikan semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan masyarakat Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, bazar Ramadan di negeri ini bukan sekadar medan jual beli, malah menjadi ruang pertemuan masyarakat pelbagai kaum yang bersama-sama menikmati kemeriahan suasana berbuka puasa.
“Di Sarawak, kita sangat bertuah kerana bazar Ramadan bukan hanya dikunjungi masyarakat Islam. Kaum Cina, Dayak dan lain-lain juga datang bersama-sama. Inilah perpaduan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Agihan Bubur Lambuk Bersama Komuniti sempena Ramadan 2026 di Pasar Komuniti Stutong, di sini, hari ini.

Menurut Dr Sim, acara seperti itu mungkin kelihatan kecil, namun memberi impak besar dalam membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.
“Kita duduk bersama, makan bersama, minum bersama. Jangan sesekali memandang rendah program seperti ini. Jika ia diteruskan, inilah asas bagaimana negara dibina bersama,” ujarnya.
Dalam program tersebut, sebanyak 700 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai sebagai simbol kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.
Mengulas mengenai harga makanan, beliau menyifatkan kadar yang ditawarkan di bazar berkenaan sebagai berpatutan dan mampu dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.
Pada masa sama, Dr Sim turut menyentuh aspek kesihatan dan saiz hidangan yang semakin bertambah.
“Saya sempat bergurau tadi, saiz bubur lambuk tahun ini lebih besar dan lebih murah hati berbanding tahun lalu. Tetapi dalam masa sama, kita juga perlu fikir tentang isu obesiti,” katanya sambil tersenyum.
Beliau turut memuji usaha pihak MBKS dan para peniaga yang memberi perhatian terhadap aspek kebersihan makanan.
Menurutnya, pemakaian sarung tangan, topi dan apron dalam kalangan peniaga kini semakin menjadi amalan biasa, sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan makanan.
“Walaupun ada yang mengatakan cuaca panas, mereka tetap bekerjasama. Ini minimum yang boleh kita lakukan. Kita masih mengekalkan tradisi Bazar Ramadan, tetapi pada masa sama standard kebersihan dan penyediaan makanan kita semakin meningkat,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha berterusan itu penting bagi memastikan standard makanan tempatan mencapai tahap lebih tinggi dan setanding piawaian antarabangsa.
Oleh Adele Rissa