
SIMANGGANG: Bazar Ramadan di Bandar Simanggang bukan sekadar medan mencari juadah berbuka, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, bazar itu kini menarik pengunjung bukan Islam juga, yang hadir untuk merasai pelbagai juadah makanan dan minuman yang disediakan.

“Uniknya bazar Ramadan ini menarik minat semua kaum, bukan sahaja masyarakat Islam, malah semua turut bersesak-sesak memilih menu kegemaran buat diri dan keluarga,” katanya semasa berkunjung ke Fiesta Bazar Ramadan Sri Aman di Bandar Simanggang, petang tadi.
Beliau menambah, suasana harmoni di Sarawak, khususnya di Bandar Simanggang, membolehkan aktiviti seperti bazar Ramadan menjadi tarikan bukan sahaja penduduk tempatan malah pelancong luar.

“Walaupun Bazar Ramadan sinonim dengan masyarakat Islam, ia kini menjadi platform masyarakat berbilang kaum bersama-sama merasai kemeriahan bulan mulia ini,” katanya.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menegaskan bazar Ramadan memberi peluang kepada golongan peniaga kecil menambah pendapatan mereka.
“Ini adalah peluang perniagaan yang disediakan untuk menambah rezeki golongan peniaga kecil sepanjang Ramadan,” tambah beliau.
Oleh Adi Safarman