
KABONG: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Nyabor (LAKIN) merancang penganjuran Bazar Ramadan Nyabor sebagai antara inisiatif utama bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat sempena ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata penganjuran bazar tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada peniaga kecil, malah berperanan menghidupkan suasana Ramadan serta mengukuhkan hubungan komuniti setempat.
Menurut beliau, usaha itu turut disokong dengan pelaksanaan projek naik taraf Dewan LAKIN melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 berjumlah RM350,000 yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Nyabor.

Katanya, kemudahan yang lebih selesa dan kondusif hasil naik taraf tersebut akan menyokong penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk program keagamaan dan ekonomi sepanjang Ramadan.
Dalam majlis sama, Chee Kadir turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM25,000 kepada LAKIN bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan berkenaan.
Selain itu, sumbangan sebanyak RM10,000 turut disalurkan kepada Urus Setia Saudara Kita (USK) Nyabor bagi membantu menjayakan program-program kebajikan dan kemasyarakatan.
Beliau berharap segala perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat setempat, manakala majlis tersebut turut dihadiri Penghulu Kamaluddin Rambli bersama ahli jawatankuasa LAKIN dan USK Nyabor.
Oleh Adi Safarman