Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Bazar Ramadan MBKS 2026, permohonan gerai kini dibuka
  • TEMPATAN

Bazar Ramadan MBKS 2026, permohonan gerai kini dibuka

Utusan Sarawak 6 hours ago
SIDANG MEDIA… Dato Wee Hong Seng bercakap pada sidang media Bazaar Ramadan MBKS hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sekali lagi memilih kawasan tempat letak kereta di Pasar Komuniti Stutong sebagai lokasi penganjuran Bazar Ramadan 2026 yang akan berlangsung sepanjang Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026.

Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng berkata bazar tahunan itu bukan sahaja menyediakan ruang niaga yang teratur, malah menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa dalam suasana yang selesa dan terurus.

Menurut beliau, permohonan untuk mengendalikan gerai kini dibuka kepada peniaga yang berminat, selaras dengan usaha MBKS memastikan peluang perniagaan dapat dinikmati secara adil dan terancang.

“Borang permohonan boleh diperoleh mulai 22 Disember 2025 di Kaunter Perkhidmatan Setempat 9, lobi Dewan Bandaraya Kuching Selatan, Jalan Padungan, dan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya 4.00 petang pada 6 Januari 2026. 

“Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang media Bazar Ramadan MBKS hari ini.

POSTER rasmi permohonan Bazar Ramadan 2026.

Beliau menjelaskan, pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan termasuk gambar berukuran pasport, salinan kad pengenalan, sijil kursus pengendali makanan yang sah serta bukti pemeriksaan kesihatan bersama suntikan tifoid yang ditanggung sendiri.

Bagi memastikan pengagihan peluang yang saksama, MBKS menetapkan bahawa pasangan suami isteri tidak dibenarkan mengendalikan atau memegang lebih daripada satu gerai. 

Peniaga yang berjaya pula dikenakan bayaran sewaan sebanyak RM300 bagi setiap gerai serta deposit RM100 sepanjang tempoh penganjuran bazar.

Sejajar dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO, Datuk Wee menggalakkan peniaga memperkenalkan sajian yang kreatif dan inovatif, tanpa mengabaikan kualiti makanan, tahap kebersihan serta sensitiviti terhadap cita rasa tempatan dan kepelbagaian budaya.

Dalam pada itu, beliau berkata MBKS meneruskan komitmen tanggungjawab sosial melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta sokongan Pertubuhan Pemuda GEMA menerusi Projek MySaveFood Ramadan. 

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pengurangan pembaziran makanan dengan mengumpul lebihan makanan yang tidak terjual untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Bagi penganjuran 2026, MBKS menyasarkan peningkatan pengumpulan lebihan makanan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya hasil pelaksanaan yang lebih berkesan,” katanya.

Aspek kelestarian alam sekitar turut diberi penekanan apabila penggunaan bekas styrofoam dan pembungkusan plastik tidak digalakkan. 

Peniaga serta pengunjung disaran mengamalkan penggunaan bekas dan beg guna semula sebagai sebahagian daripada usaha bersama ke arah persekitaran bandar yang lebih bersih.

Mengulas mengenai penyediaan gerai, beliau memaklumkan sebanyak 160 gerai akan disediakan merangkumi 24 gerai minuman, 60 gerai makanan dimasak, 54 gerai pencuci mulut serta 22 gerai makanan bakar atau panggang.

Datuk Wee berharap Bazar Ramadan MBKS 2026 dapat dianjurkan dalam suasana yang selamat, teratur dan bertanggungjawab, di samping menggesa peniaga yang berminat agar membuat permohonan lebih awal serta mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh pihak majlis.

Oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Kamera badan perkukuh integriti dan ketelusan Penguatkuasaan MPKS
Next: Jalan Ketitir berlubang, pihak berkuasa ambil tindakan segera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.