PEMAIN tengah Sepanyol, Thiago Alcantara merupakan bintang Bayern Munich terbaru yang melanjutkan kontraknya, menurut laporan media Jerman semalam.
Harian Jerman, Bild dan majalah Sport Bild mendakwa pemain berusia 29 tahun itu akan menyertai Thomas Mueller, Alphonso Davies dan ketua jurulatih Hansi Flick yang telah memberikan komitmen kepada juara bertahan Bundesliga itu.
Dengan kontrak asalnya berbaki satu tahun lagi, Bild berkata perjanjian baru telah dipersetujui dengan Bayern akan mengumumkan tempoh kontrak baru Alcantara sepanjang minggu ini.
Pemain tengah dan ‘playmaker’ itu telah menjaringkan 31 gol dalam 227 penampilan bersama Bayern sejak berpindah dari Barcelona pada 2013.
Saingan Bundesliga dihentikan pada pertengahan Mac kerana Covid-19 tetapi Bayern baru-baru ini mahu mengikat Mueller dan Flick sehingga 2023, sementara pemain remaja dari Kanada, Davies turut menandatangani kontrak sehingga 2025.
Lebih banyak bintang Bayern dijangka memberikan komitmen dalam beberapa minggu mendatang dengan kapten Manuel Neuer dan David Alaba kedua-duanya merundingkan perjanjian baru.
Pemain sayap Manchester City dari Jerman, Leroy Sane dilaporkan masih berada dalam senarai teratas Bayern bagi musim depan. – AFP