
MUNICH, Jerman: Bayern Munich hari ini mengumumkan pertahanan Jerman, Nathaniel Brown, sah menyertai kelab itu dari Eintracht Frankfurt menerusi kontrak sehingga 2031.
Juara bertahan Bundesliga itu dilaporkan membayar yuran perpindahan sebanyak 55 juta euro (AS$63 juta) kepada Frankfurt bagi mendapatkan Brown, 23, yang dijangka bersaing dengan Alphonso Davies di posisi bek kiri selepas pemain Kanada itu sering dibelenggu kecederaan.
Menyifatkan Bayern sebagai “antara kelab terbaik di dunia”, Brown berkata perbincangannya dengan jurulatih Vincent Kompany menjadi faktor utama yang meyakinkannya untuk berpindah.
“Saya sentiasa mengimpikan untuk beraksi bagi merebut kejuaraan terbesar di pentas tertinggi. Saya meletakkan sasaran yang tinggi dan mahu memberikan yang terbaik daripada diri saya setiap hari.”
Bayern berusaha terus memperkukuh skuad selepas musim 2025-26 yang cemerlang apabila menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman, selain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Pada Rabu lalu, Bayern turut mengumumkan pembelian pemain tengah Ismael Saibari yang menyerlah bersama Maghribi di Piala Dunia.
Pengarah sukan Bayern, Max Eberl, memuji “perkembangan pesat” Brown sambil menyifatkan pemain itu masih memiliki potensi besar dan merupakan aset penting untuk masa depan kelab.
Brown, yang turut layak mewakili Amerika Syarikat menerusi bapanya, membuat penampilan sulung bersama Jerman pada Oktober lalu sebelum mengukuhkan kedudukannya dalam kesebelasan utama.
Pemain yang terkenal dengan kepantasannya itu menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan ketika Jerman membelasah Curacao 7-1 dalam perlawanan pembukaan kejohanan.
Brown menyertai Frankfurt dari Nuremberg pada 2024 dengan nilai perpindahan tiga juta euro. Musim lalu, beliau beraksi dalam 33 daripada 34 perlawanan Bundesliga Frankfurt, menjaringkan empat gol dan mencatat empat bantuan jaringan. — AFP