
GABUNGAN Parti Sarawak (GPS), sebagai peneraju utama politik negeri Sarawak sejak pasca PRU14, kini berdepan cabaran dalaman yang semakin ketara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Pergeseran antara Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memperlihatkan bukan sahaja ketegangan politik tetapi juga memperkukuh naratif bahawa GPS bukanlah sebuah entiti yang monolitik, sebaliknya terdedah kepada perebutan pengaruh dalam kalangan parti komponennya.
Pusat kepada konflik ini ialah dua tokoh utama – Dato Sri Tiong King Sing (Presiden PDP) dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (Presiden SUPP) – yang dilihat masing-masing ingin mengukuhkan kedudukan parti mereka dalam konteks pengaruh kawasan pilihan raya, khususnya kerusi ‘kelabu’ yang boleh dimenangi oleh mana-mana pihak berdasarkan sentimen dan kekuatan akar umbi semasa.

Hala tuju dan dominasi
Isu ini sebenarnya lebih daripada sekadar perebutan kerusi, sebaliknya adalah pergelutan yang mempengaruhi hala tuju dan landskap GPS itu sendiri pada masa masa akan datang.
SUPP, sebagai parti Cina tertua di Sarawak dan rakan pengasas GPS, sudah pasti akan menganggap dirinya sebagai pemegang hak tradisi dalam mewakili komuniti Cina, terutamanya di kawasan bandar.
Namun, dalam realiti politik semasa, SUPP berdepan kemerosotan pengaruh akibat kekalahan demi kekalahan kepada DAP sejak beberapa siri pilihan raya dan krisis dalaman yang berlaku dalam parti berteraskan etnik Cina itu.
Sebaliknya, PDP tampil lebih agresif dengan strategi memperluas pengaruh ke kawasan campuran, termasuk kawasan majoriti Cina seperti Bawang Assan dan kawasan luar bandar yang beretnik pelbagai.
Penyertaan tokoh seperti Dato Sri Wong Soon Koh, bekas pemimpin kanan SUPP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, sebenarnya kerusi asal tradisi milik SUPP yang diwakilinya sejak 1991.
Maknanya sudah 34 tahun kerusi DUN tersebut diwakili Soon Koh. Sudah pasti pengaruh beliau dilihat terlama berakar umbi di Bawang Assan dan kini beliau ialah Naib Presiden Kanan PDP yang memerlukan pengekalan kerusi atau kuota kerusi untuk PDP dipertingkat.

Kawasan campuran
Demografi kerusi ini bukan sahaja terdiri daripada bandar Sibu, yang meliputi sekitar 25 peratus pengundi tetapi juga 25 peratus masyarakat Cina di kawasan luar bandar.
Selain itu, kerusi tersebut juga mempunyai 105 rumah panjang sepanjang Batang Rejang, Batang Igan, Jalan Oya, Pasai Siong hingga ke Sungai Kut. Kerusi campuran ini kini menjadi rebutan SUPP dan PDP.
Maka PDP turut memperkukuh asas PDP dalam kawasan yang dahulunya bukan milik mereka secara tradisional.
Hala tuju yang cuba dibawa oleh PDP adalah jelas, iaitu cuba mendesak GPS agar pembahagian kerusi lebih berpaksikan merit semasa (berdasarkan kekuatan akar umbi dan sumbangan semasa) dan bukannya berpandukan warisan lama.
Jika strategi ini berjaya, ia akan menandakan transformasi politik GPS daripada perikatan berdasarkan tradisi kepada satu struktur pragmatik yang lebih dinamik.
Kesatuan atau perpecahan
Konflik PDP-SUPP sebenarnya adalah mewakili cabaran terbesar GPS, iaitu bagaimana untuk mengekalkan kesatuan dalam kepelbagaian?
PBB sebagai tunjang utama dalam GPS sedar akan bahaya yang bakal muncul jika konflik ini dibiarkan berlarutan.
PBB yang selama ini mengekalkan peranan dominannya melalui pendekatan toleransi dan konsensus, dijangka campur tangan secara diplomatik dan tertutup bagi meredakan ketegangan.
Strategi ini bukan sahaja bagi memastikan GPS kelihatan bersatu, tetapi juga bagi mengelakkan sabotaj dalaman semasa PRN akan datang.
Namun, rundingan pembahagian kerusi seperti di Engkilili, Bawang Assan, dan Ba’kelalan dijangka rumit.
Misalnya, PDP merasakan mereka lebih relevan di Engkilili berdasarkan kerja akar umbi mutakhir, manakala SUPP masih berpegang kepada hak tradisinya di kerusi tersebut.
Bagi Bawang Assan pula, kemasukan Soon Koh dan penonjolan cucunya, Sean Wong, sebagai calon berpotensi PDP menimbulkan keresahan dalam SUPP.
Tambahan pula, Ba’kelalan juga menjadi kawasan rebutan dengan kehadiran bekas pemimpin PKR, Baru Bian, memberi alasan kepada PDP untuk mencuba nasib dengan calon etnik Lun Bawang yang lebih dekat dengan komuniti setempat. Baru Bian kini ialah naib presiden PDP sejak April 2024.
Cabaran
Cabaran utama di sini ialah bagaimana mencapai formula ‘menang menang’ tanpa mengorbankan semangat setiakawan GPS yang selama ini menjadi aset terpenting mereka.
Pertembungan antara PDP dan SUPP membuka ruang kepada pelbagai potensi konflik yang melangkaui pembahagian kerusi.
Aspek ini termasuklah konflik kepimpinan dan generasi baharu dan pertikaian ini boleh dilihat sebagai simbol kepada peralihan generasi dalam GPS.
Pemimpin baharu seperti Tiong King Sing dan Dr Sim Kui Hian cuba membina legasi masing-masing, menyebabkan berlakunya pertembungan ego dan pengaruh.

Pertembungan politik identiti boleh tercetus apabila SUPP mewakili majoriti Cina dan PDP lebih terbuka dan luas kepada pendekatan berbilang kaum, maka terdapat risiko naratif ketidakseimbangan kuasa etnik dalam persaingan perebutan kerusi di antara dua parti bersaing itu.
Sekiranya ini dimanipulasi kempen-kempen tidak sihat, ia boleh mencetuskan prejudis dalam kalangan pengundi Cina atau Dayak.
Sekiranya konflik ini berlarutan dan tidak ditangani, GPS akan mudah dilihat sebagai gabungan yang longgar dan rapuh, lantas membuka peluang kepada pembangkang seperti DAP dan PKR juga parti kecil seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK) untuk menyerang kredibiliti GPS secara strategik, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Pergolakan jadi peluang
Dalam politik, setiap kelemahan lawan adalah peluang yang dinanti-nantikan untuk dieksploitasi. Pembangkang, terutamanya DAP, dijangka menggunakan pertelingkahan SUPP-PDP sebagai peluru politik.
Antara strategi yang dijangka dijangka digunakan oleh pembangkang termasuk memberikan imej seolah-olah GPS sebagai gabungan rapuh dan bila-bila masa boleh terpecah khususnya apabila PDP dan SUPP gagal ditangani.
Sudah pasti pembangkang akan mencabar GPS di kerusi panas seperti Bawang Assan dengan menampilkan diri sebagai alternatif yang lebih segar, mempromosi calon muda, profesional dan bebas kontroversi bagi menarik pengundi bandar dan pengundi muda.
Namun, kejayaan strategi pembangkang ini masih bergantung kepada kemampuan mereka menawarkan calon yang mampu menyaingi jentera GPS yang terkenal dengan kekuatan akar umbi, politik khidmat, sumber logistik dan pengaruh kerajaan negeri.
Rumusan
Konflik antara PDP dan SUPP bukan sekadar perebutan kerusi, tetapi mencerminkan perebutan hala tuju masa depan GPS dan struktur kuasanya.
Ia juga menandakan fasa peralihan kepada generasi baharu pemimpin yang lebih agresif dan berani mencabar status quo.
Dalam konteks ini, PBB memikul tanggungjawab berat sebagai pendamai dan pemudah cara. Sekiranya PBB berjaya meredakan ketegangan ini melalui pendekatan diplomasi dan rundingan konsensus, maka GPS akan terus kekal sebagai gabungan dominan di Sarawak.
Namun, kegagalan untuk menyelesaikan konflik ini secara tuntas boleh menyebabkan perpecahan dalaman yang melemahkan kekuatan GPS secara keseluruhan.
Dalam dunia politik moden yang pantas berubah, kesatuan dalam kepelbagaian bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu keperluan.
PRN Sarawak yang akan datang bakal menjadi medan ujian sebenar – bukan sahaja kepada keutuhan GPS, tetapi juga kepada kematangan politik Sarawak secara keseluruhan.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).