
PUTRAJAYA: Semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) boleh menebus Baucar Buku Guru MADANI bernilai RM100 mulai hari ini hingga 30 Sept ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan PPP perlu melayari laman utama DELIMa di https://d2.delima.edu.my/login dan klik pautan ‘Tebus Baucar Buku Guru MADANI 2025’ bagi tujuan penebusan.
Inisiatif Baucar Buku Guru MADANI yang memberi manfaat kepada lebih 430,000 PPP di bawah KPM telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 pada 1 Jun lepas.
“Ia merupakan hadiah ilmu untuk golongan pendidik yang bertujuan membudayakan amalan membaca dan pembelajaran sepanjang hayat,” menurut kenyataan itu.
-Bernama