
BAU: Bau bakal menjadi bandar transit utama sempadan Sarawak-Kalimantan selepas projek menaik taraf jalan ke Serikin kepada jalan dua hala (dual carriageway) dilaksanakan tidak lama lagi.
Jalan dua hala tersebut akan menghubungkan terus dari Bau ke Serikin di bawah perancangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kehadiran ramai pengunjung dari Kalimantan di Pesta Tasik Biru membuktikan potensi besar hubungan dua hala melalui laluan ini, sekali gus membuka peluang besar kepada sektor pelancongan, perdagangan, dan ekonomi tempatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Maritim dan Sungai) yang juga ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, Bau juga akan menjadi bandar persinggahan atau ‘transit town’ yang strategik pada masa akan datang.
Menurutnya, Serikin juga akan menjadi pintu masuk penting dari Indonesia ke Malaysia sebaik Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) siap kelak.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Karnival Sukan Bau 2025 hari ini, yang disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kepentingan laluan itu, kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Sanggau Ledo—kawasan di Kalimantan yang padat dengan komuniti Bidayuh.
“Saya dimaklumkan laluan itu juga akan jadi jalan dua hala. Malah ia mungkin akan jadi lebih popular daripada Tebedu, kerana lokasi Biawak yang lebih dekat,” katanya. -UKAS