
KUALA LUMPUR: Bata Malaysia merancang untuk mengembangkan kehadirannya dengan membuka cawangan baharu setiap tahun khususnya di Johor serta Sabah dan Sarawak, pada masa sama memodenkan kedai sedia ada.
Pengarah Urusan Bata Malaysia dan Singapura Rabi Hasnabi berkata jenama itu juga mengukuhkan perniagaan dalam taliannya yang telah meningkat tiga kali ganda dalam jualan sejak tiga tahun lepas dan menjadikannya jenama kasut pertama di Malaysia yang dijual melalui platform TikTok.
Prospek perniagaan Bata Malaysia kekal kukuh tahun ini hingga 2026, walaupun pengguna terus merasai tekanan dengan peningkatan pasca pandemik pada 2022 didorong oleh subsidi.
“Pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka disebabkan ketidaktentuan, bagaimanapun Bata mempunyai program kukuh untuk memenuhi permintaan yang berkembang dengan kasut mampu milik, bergaya dan selesa,” katanya kepada Bernama sempena Hari Pengasas jenama itu, menandakan 131 tahun beroperasi di peringkat global dan 95 tahun di Malaysia.
Bata meraikan Hari Pengasas jenama itu pada setiap 21 September dengan pencapaian dua kali ganda: 131 tahun warisan global dan 95 tahun di Malaysia, Bata sentiasa bersama dalam kehidupan seharian untuk beberapa generasi.
Dengan lebih daripada 240 kedai di seluruh negara dan kehadiran dalam talian yang semakin meningkat, Rabi berkata Bata terus menggabungkan kepakaran global dengan pandangan tempatan untuk menghasilkan kasut yang memenuhi keperluan setiap generasi.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kasut wanita kekal sebagai segmen berprestasi tinggi, satu trend yang konsisten di seluruh negara.
Tarif dan Perang Perdagangan
Mengulas mengenai kesan tarif dan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, Rabi berkata rantaian bekalan Bata kekal kukuh kerana ia tidak bergantung kepada AS untuk pengeluaran.
Bata yang mengendalikan 20 kemudahan pengeluaran di seluruh dunia dan mempunyai kehadiran di lebih 70 negara, memanfaatkan reka bentuk global dan rangkaian penyumberan untuk memberikan kemampuan dan keselesaan yang dibuat khusus pengguna tempatan.
“Anda mungkin mendapati kasut yang direka di Itali tetapi dihasilkan di Asia, disesuaikan khusus untuk kaki pengguna di Malaysia, ia sangat berbeza daripada kaki pengguna di India atau Eropah. Ini memberi kami skala ekonomi dan keupayaan untuk menawarkan kasut mampu milik tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.
-BERNAMA