
MIRI: Ketika matahari mula bersembunyi di sebalik hutan hujan Borneo, langit di Taman Negara Mulu bertukar menjadi pentas semula jadi yang memukau apabila ribuan kelawar berterbangan keluar dari Gua Rusa di sini.
Penghuni gua itu membentuk pusaran hitam beralun di langit senja dalam fenomena dikenali sebagai bat exodus yang berlaku hampir setiap petang, dengan Mulu menjadi satu daripada lokasi terbaik untuk menyaksikannya.
Bagi pencinta alam dan penggemar aktiviti lasak, fenomena ini bukan sekadar tontonan tetapi sebuah pengalaman luar biasa yang penuh keindahan, seolah-olah menatap orkestra alam yang diatur dengan sempurna.
Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2000 kerana nilai geologi dan biodiversitinya, Gua Rusa juga dikenali sebagai antara gua batu kapur terbesar di dunia yang menjadi habitat semula jadi jutaan kelawar.
Untuk ke kawasan pemerhati, pengunjung perlu berjalan melalui laluan papan sejauh tiga kilometer (km) merentasi kawasan paya gambut, aliran sungai dan singkapan batu kapur, dengan perjalanan sekitar 45 minit sebelum tiba di kawasan lapang berhampiran pintu gua.
Penulis berpeluang menyaksikan sendiri fenomena itu ketika menyertai program Familiarisation Trip ke Taman Negara Mulu yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak dengan kerjasama Gaya Travel Media, sekali gus memberi pengalaman lebih dekat terhadap keunikan tapak warisan dunia berkenaan.
Menurut pemandu pelancong Taman Negara Mulu, Richie Philip, 35, gua berkenaan menempatkan anggaran dua hingga tiga juta kelawar daripada 12 spesies, dengan koloni Wrinkled-lipped menjadi yang paling dominan dan membentuk formasi unik ketika keluar mencari makanan.
“Biasanya mereka akan keluar antara 5 hingga 6 petang. Kalau cuaca hujan lebat, ada kalanya mereka tidak keluar. Tapi bila keadaan sesuai, kelawar itu keluar dalam arus tanpa putus, berpusing di udara dan itulah pemandangan yang amat menakjubkan,” katanya kepada Bernama.
Richie menjelaskan sebelum keluar secara besar-besaran, kelawar akan berlegar di pintu gua dalam formasi spiral atau menyerupai huruf S sebagai strategi semula jadi mengelirukan pemangsa seperti helang yang sering berlegar di kawasan itu.
Menurutnya fenomena kelawar itu hanya berlaku di Gua Rusa kerana keadaan ruang utama gua berketinggian lebih 100 meter yang sebahagiannya diterangi cahaya mahatari tanpa dihalang pokok di sekitarnya.
“Sebab itu kita nampak kelawar berlegar di ruang utama gua dahulu sebelum terbang jauh kerana mereka menunggu kumpulan lain bergabung supaya rasa lebih selamat.
“Pada masa sama, formasi ini juga mampu mengelirukan helang yang menunggu di luar gua, sekali gus menyukarkan pemangsa menangkap mereka,” katanya.
Richie berkata aliran kelawar boleh berlangsung tanpa henti selama beberapa minit, membentuk kelompok seolah-olah awan hitam di langit dan terbang dengan kelajuan hingga 70 km sejam sejauh 50 km sebelum kembali ke gua pada pagi keesokannya.
Berpengalaman lebih lima tahun sebagai pemandu pelancong, Richie berkata jutaan kelawar bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, tetapi juga penting kepada ekosistem gua kerana guano atau najisnya menjadi sumber makanan bagi pelbagai spesies serangga dan juga ikan kecil.
“Najis kelawar yang banyak dikumpulkan sepanjang malam menjadi sumber makanan utama untuk hidupan lain. Kalau tiada kelawar, rantai makanan dalam gua akan terputus,” jelasnya.
Beliau turut menasihati pengunjung supaya diam ketika menyaksikan fenomena itu kerana jika bising kelawar akan terbang tinggi, sedangkan dalam keadaan senyap ia terbang rendah dan bunyi kepak sayapnya yang menyerupai tepukan kecil dapat didengar dengan jelas.
Bagi penulis sendiri, berdiri di platform pemerhati sambil menatap ribuan kelawar berterbangan dalam formasi spiral di udara merupakan pengalaman menakjubkan, satu persembahan alam yang benar-benar wajar digelar antara keajaiban dunia.– Bernama