
SHAH ALAM: Penggunaan peranti had laju (SLD) ke atas kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan persiaran dikuatkuasakan secara berperingkat bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penguatkuasaan yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan berat dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Beliau berkata buat permulaan ia dilaksanakan kepada semua bas ekspres dan persiaran serta kenderaan barangan berat maksimum 3,500 kilogram (kg) yang didaftar bermula 1 Januari 2015.
“Untuk itu, mereka wajib mendapatkan pengesahan kefungsian dan laporan SLD daripada pengilang/ pengeluar kenderaan, bengkel atau fasiliti servis diiktiraf JPJ selain badan pensijilan bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia.
“Dokumen pengesahan kefungsian dan laporan SLD ini wajib diperbaharu setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) serta ketika permohonan atau pembaharuan permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Penggunaan SLD bagi kenderaan perdagangan di sini hari ini.
Loke berkata dokumen berkenaan juga perlu dibawa setiap masa bagi tujuan penguatkuasaan JPJ.
Selain itu, Loke berkata pengaktifan SLD dalam unit kawalan elektronik (ECU) turut diwajibkan ke atas kenderaan barangan berat maksimum 3,500kg serta membawa penumpang lebih lapan orang sebelum 1 Januari 2026.
Beliau berkata penguatkuasaan itu turut terpakai untuk kenderaan rebuild dan kenderaan barangan import terpakai berat maksimum 3,500kg.
Kenderaan yang melebihi berat 3,500kg dan kenderaan membawa lebih lapan penumpang yang tidak dilengkapi SLD turut diwajibkan memasang peranti secara retrofit yang mendapat pengesahan JPJ sebelum 1 Julai tahun depan.
“Penguatkuasaan ini adalah satu langkah penting ke arah memastikan kenderaan perdagangan mematuhi ciri keselamatan kritikal, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya melibatkan nyawa dan harta benda,” katanya.
Beliau berkata semua jenis bas dan kenderaan berat telah ditetapkan had laju maksimum 90km/j.
“Alat ini akan mengehadkan kelajuan untuk kenderaan berat kepada 90 km/j sahaja namun mereka perlu patuh pada had laju kawasan yang dilalui.
“Walaupun di lebuh raya membenarkan hingga 110 km/j, (dengan adanya SLD ini) 90 km sejam sahaja. Jadi ini akan diselaraskan,” katanya.– Bernama