
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan, Baru Bian, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan aktiviti dadah dan rasuah di Lawas, sambil menyifatkannya sebagai tidak berasas serta berniat jahat.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau merujuk kepada hantaran di laman Facebook bertarikh hari ini yang mendakwa beliau bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, serta Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Menurutnya, dakwaan tersebut turut disiarkan semula dalam satu segmen berita pada hari yang sama.
Baru berkata, individu di sebalik laman Facebook terbabit sebelum ini pernah membuat pelbagai hantaran seumpamanya, namun dakwaan terbaharu itu disifatkan telah melampaui batas.
“Tuduhan ini sama sekali tidak berasas dan jelas bertujuan menjejaskan kredibiliti serta reputasi saya sebagai ADUN Ba’ Kelalan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai fitnah serta satu serangan serius terhadap watak dan integritinya, yang dipercayai dibuat dengan niat jahat untuk memburukkan beliau di mata umum.
Sehubungan itu, beliau menegaskan akan mengambil semua langkah sewajarnya, termasuk memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Oleh Connie Chieng