Barisan artis popular meriahkan Ulang Tahun Ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Erni Zakri, Zubir Khan, Salma Asis, Victoria, Shidi Data, Thalita dan Zaki Yamani bakal menghiburkan pengunjung pada Majlis Perasmian Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya sempena sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya itu di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, pada 20 Jun ini.

DATUK Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri bersama Ahli-Ahli Majlis MBPJ pada Pra-Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di ibu pejabat MBPJ, 5 Jun lalu.

Program yang berlangsung dari 8.00 malam hingga 11.00 malam itu dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan dijangka menghimpunkan ribuan warga Petaling Jaya dalam suasana penuh meriah.

Antara acara yang disusun ialah Perarakan Ulang Tahun Bandar Raya, persembahan kebudayaan serta pertunjukan bunga api yang bakal menjadi kemuncak sambutan.

Sambutan berkenaan diadakan bagi memperingati dua dekad pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya, selain mengukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan yang dijangka menjadi antara acara terbesar anjuran MBPJ tahun ini.

Maklumat lanjut serta kalendar acara boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR yang disediakan pada poster rasmi program.