
LONDON: Barcelona meledak dua gol dalam tempoh lima minit terakhir untuk menewaskan seteru setempat Espanyol 2-0 di Stadium RCDE sekali gus melebarkan jurang kepada tujuh mata di puncak LaLiga, lapor PA Media/dpa.
Pasukan kendalian Hansi Flick sebelum itu tampak bergelut ketika cuba meneruskan rentetan lapan kemenangan liga berturut-turut ke atas Espanyol, yang turut hadir dengan rekod lima kemenangan berturut-turut.
Pemain gantian Dani Olmo akhirnya memecah kebuntuan menerusi penyudah tenang sebelum Robert Lewandowski, yang juga dimasukkan sebagai pemain gantian, memastikan kemenangan Barcelona dengan gol pada minit ke-90, sekali gus meninggalkan mereka semakin jauh di hadapan Real Madrid yang akan menerima kunjungan Real Betis pada Ahad.
Villarreal kekal di tangga ketiga selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Elche, mendahului perlawanan menerusi jaringan awal Alberto Moleiro dan Georges Mikautadze sebelum Alfonso Pedraza mengesahkan kemenangan pada lewat perlawanan.
Di Serie A, Roma terlepas peluang untuk mara ke kelompok empat teratas selepas tewas 0-1 kepada Atalanta. Gol awal Giorgio Scalvini sudah memadai untuk membawa Atalanta naik ke tangga kelapan.
Juventus pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 1-1 menentang Lecce di Stadium Allianz. Pelawat mendahului menerusi Lameck Banda sebelum rehat separuh masa.
Weston McKennie menyamakan kedudukan buat Juventus selepas permainan bersambung, namun Jonathan David gagal menyempurnakan sepakan penalti ala Panenka apabila percubaannya diselamatkan, menyebabkan Juventus kekal di tempat keempat.
Dalam saingan Ligue 1, Lille menyaksikan rentetan kemenangan mereka berakhir selepas tewas 0-2 di laman sendiri kepada Rennes, dengan pertahanan Alexsandro Ribeiro dilayangkan kad merah seawal minit ke-13 di Stadium Pierre-Mauroy.
Przemyslaw Frankowski dan Quentin Merlin masing-masing menjaringkan gol sebelum dan selepas rehat separuh masa untuk mengukuhkan kedudukan Rennes di tempat keenam.
Lyon meneruskan usaha memburu kelompok empat teratas dengan kemenangan 3-1 ke atas Monaco, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Mamadou Coulibaly dibuang padang 20 minit sebelum tamat, meskipun beliau terlebih dahulu menyamakan kedudukan sebelum rehat.
Pengurus Strasbourg, Liam Rosenior – yang hangat dikaitkan dengan jawatan pengurus di Chelsea – menyaksikan pasukannya mengikat Nice 1-1 di Allianz Riviera. Keputusan itu menyebabkan pasukan tuan rumah, Nice, terus kempunan tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan liga.
-Bernama