
MADRID: Barcelona menjulang kejuaraan La Liga musim ini semalam selepas menewaskan Real Madrid 2-0 pada aksi ‘El Clasico’ di Camp Nou, lapor Xinhua.
Kemenangan berkenaan meletakkan Barcelona 14 mata di hadapan Real Madrid di puncak liga sekali gus mengesahkan penguasaannya ke atas musuh tradisi itu buat tahun kedua berturut-turut.
Penyerang Real Madrid Kylian Mbappe diketepikan akibat kecederaan hamstring manakala Federico Valverde turut tidak diturunkan susulan pergaduhannya dengan Aurelien Tchouameni yang mendapat liputan meluas media. Sementara itu, Dean Huijsen menarik diri pada saat akhir selepas mengalami masalah ketika sesi memanaskan badan.
Ferran Torres menjadi watak utama dalam aksi terbaik Barcelona pada separuh masa pertama apabila memaksa Antonio Rudiger melakukan kekasaran pada minit kesembilan. Ini membolehkan Marcus Rashford menjaringkan gol pembukaan menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Thibaut Courtois.
Torres menggandakan kelebihan Barcelona pada minit ke-18 menerusi penyudah tajam selepas menerima hantaran menarik rakan sepasukan, Dani Olmo.
Rashford berpeluang menambah gol ketiga sebelum rehat selepas sekali lagi menerima hantaran Torres, namun kali ini Courtois berjaya menepis percubaan berkenaan manakala rembatan susulan Olmo daripada sepakan penjuru tersasar.
Real Madrid bergelut untuk bangkit pada awal babak kedua apabila Courtois terpaksa memintas hantaran lintang berbahaya Rashford selain menyelamatkan percubaan Torres.
Jude Bellingham menyaksikan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid manakala penjaga gol Barcelona Joan Garcia bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Vinicius.
Courtois turut menyelamatkan percubaan Raphinha dan Robert Lewandowski pada penghujung perlawanan, namun Barcelona berjaya mempertahankan kelebihan untuk meraih kemenangan dan dijadual meraikan kejuaraan mereka pada Isnin.
-Bernama