TERDAPAT PRESTASI TERJEJAS… Subsektor sarung tangan bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak 66.2 peratus bersamaan RM6.04 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2022, daripada RM17.86 bilion dalam tempoh sama pada 2021. Sarung tangan pembedahan kekal sebagai pendapatan tertinggi dengan pendapatan eksport hampir RM561.7 juta, meningkat hampir 13.3 peratus daripada tahun sebelumnya manakala benang lateks naik 21.8 peratus kepada RM240 juta berbanding RM197.1 juta pada tahun lepas. Pengeluar sarung tangan perlu menukar tumpuan mereka kepada pemain industri bukan perubatan sebagai pelanggan berpotensi dan utama mereka untuk menjadikan industri itu lebih menguntungkan dan terus berkembang maju daripada memberi tumpuan kepada sektor penjagaan kesihatan.
KUALA LUMPUR: Prestasi eksport getah pada suku pertama 2022, menyaksikan barangan lateks menyumbang 83.1 peratus daripada jumlah eksport produk getah, dengan subsektor sarung tangan kekal sebagai penjana pendapatan eksport terbesar untuk industri getah, menurut Majlis Getah Malaysia (MRC).
Dalam kenyataan katanya, subsektor sarung tangan bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak 66.2 peratus bersamaan RM6.04 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2022, daripada RM17.86 bilion dalam tempoh sama pada 2021.
Sarung tangan pembedahan kekal sebagai pendapatan tertinggi dengan pendapatan eksport hampir RM561.7 juta, meningkat hampir 13.3 peratus daripada tahun sebelumnya manakala benang lateks naik 21.8 peratus kepada RM240 juta berbanding RM197.1 juta pada tahun lepas.
Kateter mencatatkan peningkatan sebanyak 66.5 peratus kepada RM113 juta dan produk buih menunjukkan kenaikan yang ketara sebanyak 204.2 peratus kepada RM106.1 juta.
Bagi prestasi eksport produk getah kering pada suku pertama 2022, tayar yang merupakan eksport terbesar dalam sektor produk getah kering mencatatkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2021, naik daripada RM429.9 juta kepada RM449.1 juta.
Aspek ketara lain termasuk barangan getah perindustrian, yang terdiri daripada produk untuk sektor automotif, perlombongan dan pembinaan, mencatatkan RM377.2 juta (23.2 peratus), diikuti barangan getah am sebanyak RM375 juta (9.7 peratus) dan kasut sebanyak RM150.1 juta (4.1 peratus).
Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pengimport utama negara untuk tayar, meningkat sebanyak 17.6 peratus berjumlah RM 193.6 juta, berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Secara keseluruhannya, bagi tempoh Januari-Mac 2022, MRC berkata jumlah eksport getah dan produk getah Malaysia susut 52.8 peratus kepada RM10.298 bilion daripada RM21.839 bilion dalam tempoh sama pada 2021, sebahagian besarnya berikutan penurunan eksport barangan lateks iaitu sarung tangan dan berikutan peralihan negara ke fasa endemik.
Sementara itu, MRC berkata, inisiatif semasa adalah ke arah mewujudkan nilai untuk industri getah Malaysia bagi memastikan ia kekal berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad berkata, pengeluar sarung tangan perlu menukar tumpuan mereka kepada pemain industri bukan perubatan sebagai pelanggan berpotensi dan utama mereka untuk menjadikan industri itu lebih menguntungkan dan terus berkembang maju daripada memberi tumpuan kepada sektor penjagaan kesihatan.
“Pemain industri perlu mengkaji cara dan kaedah dengan kreatif untuk menjadikan industri sarung tangan menguntungkan dan berkembang semula.
“Tambahan pula, sarung tangan gred bukan perubatan pakai buang terdapat dalam pelbagai saiz, warna, ketebalan dan tekstur. Penggunaan sarung tangan sedemikian wujud dalam perniagaan dari pusat tatu hingga ke makmal dan malah, pusat jagaan kanak-kanak,” kata Nor Hizwan.
Bagi kekal berdaya tahan, beliau berkata, MRC memudahkan pengeluar tempatan dalam mendapatkan pasaran baharu kepada sektor bukan perubatan.
Antara inisiatif tersebut ialah penyertaan MRC dalam Food Safety Summit Conference & Expo 2022 di Illinois, AS untuk mempromosikan sarung tangan pengendalian makanan dan British Dental Conference and Dentistry Show 2022 di Pusat Pameran Nasional di United Kingdom sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan produk pergigian berkualiti tinggi termasuk sarung tangan pergigian.
Selain itu, MRC, agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menjadi penganjur utama Sidang Kemuncak dan Ekspo Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia atau MIACES 2022 yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur. – Bernama