
PARIS: Sekumpulan perompak menggunakan peralatan pemotong logam dan menaiki lif perabot untuk merompak barang kemas ‘tidak ternilai’ dari Galeri Apollo di Muzium Louvre dalam satu rompakan berani pada waktu siang yang hanya mengambil masa tujuh minit.
Menurut Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez, tiga daripada empat perompak menggunakan lif untuk mencapai galeri yang menempatkan permata bersejarah termasuk berlian Regent, Sancy, dan Hortensia. Nilai barangan yang dicuri masih dalam siasatan.

Perompak tiba antara 9.30 dan 9.40 pagi dengan menaiki skuter, membawa peralatan pemotongan logam, sebelum memecah masuk.
Tiada kecederaan dilaporkan, Muzium Louvre ditutup serta-merta dan kawasan sekitar dikosongkan.
Pendakwa raya Paris telah membuka siasatan rasmi.
Ini merupakan satu lagi kes rompakan muzium di Perancis selepas kes di Muzium Sejarah Alam bulan lalu dan Muzium Cognacq-Jay tahun lepas.
Presiden Emmanuel Macron sebelum ini berjanji untuk menaik taraf Muzium Louvre demi menampung lebih ramai pelawat.
-AFP