BIARPUN Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 (PRN-15) telah berlalu dan keputusannya telah diketahui umum, namun, bara pascapilihan raya masih menghadirkan kehangatan dalam arena perdebatan. Masyarakat umu dipaparkan dengan pelbagai aksi dan reaksi individu tertentu. Kenyataan yang sama ada bernada angkuh, terburu-buru, provokatif, sensasi, menyindir, sederhana, bersahaja mahupun penuh reda.
Andai dikutip satu persatu daripada kenyataan yang dilontarkan oleh individu yang dianggap berwibawa, berkaliber, berwawasan dan berpengetahuan, agak sukar untuk menerima atau mempercayainya. Malah, sebahagian daripada kenyataan berkenaan tidak memperlihatkan kedalaman upaya untuk merasionalkan butiran yang dilontarkan. Malah, masih terkesan “gamitan” emosi yang memaparkan roman keegoan.
Desakan sesetengah pihak agar Parlimen dibubarkan sejurus kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 (PRN-15) dianggap sebagai salah satu gesaan yang tidak wajar. Malah, Ketua Pemuda UMNO Kubang Krian, Shamsul Fadhel Mohd Aziz, berasa terkilan dengan tindakan khalayak yang menggesa agar Parlimen dibubar dan ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau menyifatkan tindakan berkenaan kurang wajar dan disifatkan amat “biadap”. Tidak dapat ditepis kemungkinan bahawa gesaan tersebut “dipacu” oleh keyakinan bahawa kemenangan yang diperoleh pada PRN Melaka dan Johor berupa petanda bahawa BN dan UMNO khususnya, diterima kembali oleh rakyat. Malah, perkara serupa pernah dilontarkan bahawa UMNO berpendapat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum yang baik selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka lalu.
Keyakinan yang dihadirkan oleh buaian emosi, tidak mewajarkan pelontaran gesaan sedemikian. Kemenangan yang diperoleh wajar dilihat dari pelbagai sudut, di samping meramal kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi. Dalam catitan sejarah, telah terakam beberapa peristiwa atau insiden memaparkan sikap keyakinan yang “melampau”, sering membawa padah.
Perlu diambil ingatan bahawa terjemahan sokongan di satu atau dua buah negeri tidak dapat dijadikan asas mewakili sokongan sebenar rakyat seluruh negara. Dalam konteks PRN-15 Johor, jumlah peratusan rakyat yang turun mengundi harus turut diambil kira. Peratusan yang yang rendah wajar dikaji untuk mengetahui sebab-musababnya. Adakah faktor kebimbangan akan penularan jangkitan Covid-19 berupa sebab utama kurangnya jumlah rakyat Johor turun mengundi? Atau mungkinkah hal sedemikian itu berupa suatu tindakan “protes” atau terjemahan kemualan rakyat dengan senario politik semasa, khususnya di Tanah Seberang yang kian haru-biru?
Di samping hal sedemikian, terdengar juga gesaan atau “desakan” agar pemimpin parti-parti yang kalah, sudah pastinya, mengundur diri secara terhormat atas kegagalan mengemudi jentera parti sehingga mengalami kekalahan. Andai gesaan tersebut terbit dari kalangan ahli parti yang sama, hal sedemikian masih boleh diterima. Namun, andai terbit daripada ahli parti yang berlainan, hal sedemikian sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai persepsi, dan malah teori konspirasi. Apa tidaknya, bagi situasi lebih kronik yang melibatkan pucuk kepimpinan sendiri, tidak kedengaran gesaan sedemikian dilontarkan atas dasar menjaga kepentingan parti. Malah, sokongan padu “yang tidak berbelah bahagi” tetap diberikan walaupun jelas berlaku kesalahan yang besar impaknya, bukan sahaja terhadap imej parti, malah negara secara umumnya.
Gesaan sebegini tidak lebih daripada penyingkapan sikap ketidaktelusan, ketidakselarasan serta ketidakikhlasan pihak yang melontarkan gesaan. Perbuatan yang terlalu mudah mengundang tindak balas ibarat “pulang paku buah keras”. Mentaliti atau cara pemikiran tanpa mengambil kira situasi kiri, kanan, hadapan dan belakang sebeginilah yang sering memerangkap pengamal politik dalam “pusaran” polemik siasah yang mampu melemaskan, di samping menoktahkan kerjaya politik seseorang.
Budaya kebertanggungjawaban atau akuantabiliti dalam kalangan masyarakat di negara ini khususnya, masih jauh keciciran dalam soal yang melibatkan kepemimpinan. Untuk “menyerap” budaya sedemikian dengan bermodelkan negara Jepun, masih terlalu rumit. Masyarakat Jepun terdidik dalam iklim pembudayaan nilai kebertanggungjawaban pada peringkat awal lagi. Nilai yang melekat kejap dalam nubari.
Kuasa bukan dlihat sebagai suatu elemen primer yang harus dijadikan “rebutan” sekiranya tidak wujud keyakinan akan keupayaan untuk “mengawal” diri dalam penanggungjawaban untuk memimpin dan mentadbir kehidupan masyarakat, di samping memacu pembangunan dan kemajuan negara. Suatu kriteria yang digandingkan dengan ilmu pengetahuan yang bukan sahaja mendalam, akan tetapi meluas dan “menjauh” capaiannya. Nilai kebertnaggungjawaban dan akauntabiliti inilah yang diterjemah dalam amalan budaya zaman dahulu yang disebut sebagai seppuku atau hara-kiri. Amalan yang berlandaskan konsep lebih baik mati daripada menanggung malu serta penyiksaan. Namun, amalan berkenaan telah “diharamkan” dan diterjemah dalam bentuk yang lebih pragmatik, iaitu, mengundur diri secara terhormat dan ikhlas.
Mentaliti yang dipaparkan oleh kebanyakan pengamal politik negara, khususnya sewaktu pra dan pascapilihan raya, memperlihatkan satu trend yang membimbangkan. Lakaran imej sentimen yang berwarnakan emosi dendam, benci, provokasi, konspirasi dan sebagainya berupa peragaan yang kurang manis untuk tatapan masyarakat umum, terutama sekali generasi muda yang kini sudah mendapat restu atau “lesen” dar segi perundangan untuk terlibat secara langsung dalam arena politik. Suatu legasi yang tidak ingin diwariskan sebagai budaya dalam corak dan cara bersiasah.
Pascapilihan raya berupa fasa penting bagi parti yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk memimpin. Fasa “pembuktian” janji dan ikrar mentadbir urus jentera kerajaan negeri mahupun negara dipenuhi selaras dengan “kepercayaan” bukti sokongan rakyat. Fasa pascapilihan raya bukan berupa pembukaan arena untuk bertikam lidah dan menuding jari, akan tetapi fasa untuk melaraskan hala tuju membangun dan mensejahterakan negeri dan rakyat. Fasa polemik kepartian sudah berakhir. Buka minda, lapangkan dada, nyahkan perseteruan dan bersangka baiklah.
Pemberi mandat telah menunaikan kewajipan dan mengharapkan yang diberikan mandat memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Tidak mustahil apa-apa juga kemenangan yang diperoleh berupa “ujian” terencana sebagai menilai keikhlasan dan kebertanggungjawaban bagi penentuan aras penanda dalam arena pemilihan yang akan datang, khususnya Pilihan Raya Umum ke-14. Fikir-fikirkan.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!