
BETONG: Seorang lelaki berusia 38 tahun, yang juga bapa tiri kepada murid perempuan darjah lima di sebuah sekolah di sini, didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Betong, Pemangku DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek, kes itu bermula pada 27 November lalu, sekitar 1.52 petang, apabila pihak sekolah membuat laporan polis susulan kecurigaan terhadap ketidakhadiran murid tersebut secara tidak menentu.
Pihak sekolah mengesyaki murid terbabit mungkin menjadi mangsa perlakuan jenayah seksual. Bertindak atas maklumat tersebut, polis menahan suspek di Jalan Saka, Lidong, Betong pada hari yang sama.
Suspek direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis benzodiazepin.
Pada hari ini, suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Sri Aman selepas siasatan kes lengkap dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sarawak.
Beliau didakwa dengan 32 pertuduhan, iaitu 16 pertuduhan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan bagi setiap pertuduhan.
Serta 16 pertuduhan di bawah Seksyen 14 dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual ke Atas Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Suspek, yang mempunyai hubungan amanah terhadap mangsa, turut dikenakan tambahan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sekurang-kurangnya dua sebatan bagi setiap pertuduhan.
Suspek mengaku bersalah atas semua pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun serta 48 sebatan.
Selain itu, beliau diwajibkan menjalani sesi pemulihan dan kaunseling di bawah pemantauan polis selama setahun selepas tamat hukuman penjara.
Wan Mohamad Ali menasihatkan masyarakat agar lebih peka terhadap kesalahan jenayah seksual ke atas kanak-kanak dan mengingatkan bahawa kesalahan ini adalah serius dan perlu ditangani dengan tegas.
Oleh Adi Safarman