
SIBU: “Saya sendiri tidak tahu bagaimana kejadian ini boleh berlaku. Kali terakhir saya berhubung dengannya, dia hanya bercakap seperti biasa.”
Demikian luahan Ling Yii Yong, 54, bapa kepada mendiang Joey Ling pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis yang ditemukan lemas semasa aktiviti berkayak di Pantai Merdeka berhampiran Sungai Petani, Kedah, Sabtu lalu.
Menurutnya, pada malam terakhir sebelum kejadian, beliau masih sempat bercakap dengan anaknya, namun tiada sebarang tanda mencurigakan.
“Saya ada hubungi dia (Joey) pada malam itu. Kami bercakap seperti biasa, tetapi dia tidak memberitahu di mana dia berada atau ke mana dia pergi,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Mayat Bukit Lima, di sini hari ini.
Ling memberitahu, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.
“Saya ada jumpa dia pada Aidilfitri. Sebelum itu pun kami ada bercakap, tapi dia tidak ada memberitahu apa-apa tentang rancangannya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, anaknya seorang yang aktif dan gemar bermain.
“Dia memang pandai berenang dan selalu sibuk bermain,” ujarnya.
Namun, katanya, sehingga kini beliau masih tidak mengetahui lokasi sebenar anaknya pergi sebelum kejadian berlaku.
“Saya benar-benar tidak tahu di mana dia bermain atau berada pada waktu itu,” katanya dengan nada sebak. Mangsa, Joey Ling anak ketiga daripada empat orang beradik.
Oleh Akun Giman