
BUENOS AIRES, Argentina: Bapa kepada bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi, kini sedang dalam proses pemulihan daripada masalah kesihatan yang tidak didedahkan, menurut kenyataan keluarganya pada Khamis (waktu Malaysia), sambil merayu agar privasi mereka dihormati susulan pelbagai laporan media sejak kebelakangan ini.
Spekulasi mengenai tahap kesihatan Jorge Messi, 68, semakin memuncak selepas kapten Argentina itu dilihat mengalirkan air mata sejurus menjaringkan gol pertama daripada tiga jaringannya ketika membantu pasukan menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi Piala Dunia pada Selasa.
“Jorge Messi kini berada di bawah pemantauan perubatan, sedang menjalani proses pemulihan dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan berdasarkan keadaannya,” menurut kenyataan keluarga Messi tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai masalah kesihatan berkenaan.
Messi turut memberi bayangan mengenai situasi peribadi yang sedang dihadapinya ketika menjelaskan reaksinya yang penuh emosi selepas menjaringkan gol menentang Algeria.
“Ia adalah perkara yang tidak berkaitan dengan bola sepak. Saya melalui beberapa hari yang sukar dan mencabar,” katanya kepada wartawan.
Jorge Messi bertindak sebagai ejen kepada anaknya dan merupakan antara individu paling penting yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang karier pemain berkenaan.
Beliau sentiasa berada di sisi Messi sepanjang kariernya bersama Barcelona, Paris Saint-Germain dan Inter Miami, selain ketika mewakili pasukan kebangsaan Argentina.
Dalam kenyataan sama, keluarga Messi melahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap kurangnya sensitiviti, rasa hormat dan pertimbangan yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak dalam menangani perkara keluarga yang bersifat peribadi.
“Kami memohon agar semua pihak menunjukkan tanggungjawab, kebijaksanaan dan sifat kemanusiaan. Kesihatan seseorang serta ketenangan ahli keluarga di sekelilingnya tidak seharusnya menjadi bahan spekulasi atau perhatian media yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu. — AFP