
BRATISLAVA: Seorang bapa di Slovakia sedang disiasat selepas meninggalkan anak lelakinya berusia tujuh tahun terkunci di dalam kereta yang dalam keadaan panas di kawasan parkir sebuah pasar raya, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan polis Slovakia pada Jumaat.
Polis di Nitra, sebuah bandar di barat Slovakia menyelamatkan kanak-kanak itu selepas orang ramai terdengar jeritannya meminta tolong, menurut kenyataan polis.
Kanak-kanak itu telah menanggalkan bajunya, berpeluh dengan banyak dan menunjukkan tanda-tanda kepanasan melampau. Walaupun dalam keadaan itu, dia masih dapat berkomunikasi dengan anggota polis yang memecahkan satu tingkap hadapan untuk menyelamatkannya, kata polis.
Seorang doktor kecemasan yang dipanggil ke lokasi membantu menyejukkan suhu badan kanak-kanak itu secara beransur-ansur. Selepas rawatan awal, didapati dia tidak perlu dibawa ke hospital, menurut kenyataan itu.
Polis berkata mereka terkejut dengan penjelasan bapa berkenaan.
Apabila kembali ke kenderaan, bapa itu mengakui meninggalkan anaknya di dalam kereta sebagai satu bentuk hukuman selepas mereka bertengkar. Dia telah pergi membeli-belah bersama adik perempuannya, meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian di dalam kereta dengan keadaan panas terik.
Kes ini telah diserahkan kepada polis negeri yang telah memulakan siasatan jenayah terhadap bapa kanak-kanak itu.– Bernama-dpa