MIRI: Seorang lelaki dan anak perempuannya berusia enam tahun maut, manakala isterinya cedera parah selepas kenderaan pikap dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori berhampiran Rh Maxwell di Jalan Miri-Bintulu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian berlaku jam 6.12 petang itu, lelaki berusia 31 tahun maut di tempat kejadian manakala anak perempuannya meninggal dunia jam 3.39 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Miri.
“Siasatan polis mendapati kemalangan berlaku semasa lori yang datang dari arah Miri menghala ke Bintulu sedang membuat pusingan U sebelum bertembung dengan sebuah pikap yang datang dari arah Batu Niah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rempuhan itu, katanya, menyebabkan kereta pikap mengalami kerosakan teruk, manakala lori hanya rosak di bahagian hadapan.
Alexson berkata, pemandu lori berusia 48 tahun hanya mengalami cedera ringan.
Beliau berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar
Keadaan di lokasi kemalangan