

SARATOK: Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang bapa yang tergamak mencampak anak perempuan kandungnya ke dalam parit tanah membawa padah apabila lelaki berusia 42 tahun itu ditahan polis di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan tangkapan dibuat susulan laporan diterima daripada ibu kandung mangsa pada Khamis lalu sekitar 10.30 pagi.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok melancarkan operasi sebelum menahan suspek pada hari yang sama.

Menurut siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pada petang Rabu sekitar 5.00 petang di hadapan rumah suspek di Saratok.
Lelaki terbabit didakwa bertindak mencampak mangsa yang berusia enam tahun ke dalam parit tanah berhampiran kediaman mereka.
Insiden itu turut disaksikan sendiri oleh adik kembar mangsa serta beberapa jiran yang berada di lokasi kejadian.
Akibat perbuatan tersebut, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan lebam pada kelopak mata kanan dan paha kiri.

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan Hospital Saratok mengesahkan kesan lebam yang dialami mangsa adalah kecederaan baharu, dipercayai berpunca daripada insiden berkenaan.
Siasatan juga mendapati ibu mangsa dan suspek kini dalam proses penceraian dan tidak tinggal serumah. Mangsa bersama empat adik-beradik yang lain berada di bawah jagaan suspek ketika kejadian berlaku.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, dipercayai menjadi antara punca lelaki itu bertindak di luar kawalan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali.
Oleh Adi Safarman