
PANTU: Dasar pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang akan dilaksanakan pada 2026 bakal memberi banyak manfaat kepada anak Sarawak yang belajar di universiti-universiti milik kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, kerajaan Sarawak komited merealisasikan hasrat menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak susulan kekuatan ekonomi negeri ini.
Justeru, beliau menggalakkan lebih ramai anak Sarawak termasuk di DUN Bukit Begunan untuk meningkatkan prestasi pelajaran agar mereka dapat menikmati peluang itu apabila dilaksanakan kelak.
“Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pendidikan percuma bermula 2026 dan pastinya ia akan membuka lebih banyak peluang kepada belia-belia di Sarawak amnya dan di DUN Bukit Begunan khasnya melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pendidikan percuma yang akan dilaksanakan nanti, pastinya adalah peluang bagi pelajar meningkatkan pelajaran ke peringkat tinggi dan kita tumpukan kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di universiti milik kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Balai Bait Ulu Pantu dekat sini, semalam.
Mong berkata pelbagai bentuk bantuan persekolahan disediakan oleh kerajaan, tiada alasan untuk ibubapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
Beliau berkata pelbagai bantuan untuk golongan pelajar khasnya itu diyakini mampu meringankan beban yang ditanggung terutama kepada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Tambahnya lagi bantuan tersebut termasuk bantuan awal persekolahan, baucar pakaian seragam sekolah Yayasan Sarawak, bantuan pendidikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan buku dan banyak lagi.
“Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, mereka juga ada bantuan tetapi tidak sebanyak di Malaysia. Maka kita perlu bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang prihatin akan kebajikan rakyat,” ujarnya yang turut merasmikan projek air paip graviti di rumah panjang berkenaan.
Beliau turut meluluskan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000 untuk baik pulih atap rumah panjang berkenaan dan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Balai Bait Ulu Pantu serta RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang berkenaan.
Oleh Adi Safarman