
MIRI: Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini kini dalam proses pembayaran.
Residen Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang berkata, bantuan tersebut melibatkan 516 Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa bencana banjir melanda Bahagian Miri.
“Mereka terdiri daripada 201 KIR di Daerah Miri, 260 KIR di Daerah Subis, dan 55 KIR di Daerah Beluru,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan permohonan BWI bagi 7,503 KIR yang tidak berpindah tetapi turut terjejas akibat banjir telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
”Permohonan ini melibatkan 1,174 KIR di Daerah Miri, 2,763 KIR di Daerah Subis, 2,219 KIR di Daerah Beluru, 207 KIR di Daerah Telang Usan, dan 1,140 KIR di Daerah Marudi,” katanya.
Katanya lagi, kesemua permohonan tersebut kini sedang melalui proses penetapan kriteria kelayakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak sebelum sebarang bantuan dapat disalurkan.
“BWI Kematian untuk waris kepada lima mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit juga dalam proses pembayaran dalam masa terdekat oleh Pejabat Daerah Miri,” katanya
Kenyataan media itu dikeluarkan merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Mangsa Banjir di Miri Belum Terima Bantuan Wang Ihsan’ yang disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak pada 11 Jun lalu
Menurut Galong, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri juga telah mengemukakan 75 projek kerja pembaikan akibat bencana Monsun Timur Laut 2024/2025 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Beliau berkata, Pejabat Residen Bahagian Miri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri sentiasa komited dalam memastikan pengurusan dan urusan pembayaran
dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri,” ujarnya.