Bantuan SARA RM100 dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Malaysia

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai membeli barangan keperluan asas di pasar raya menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang disalurkan mulai hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Orang ramai hari ini mengambil peluang hujung minggu untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan premis lain di seluruh negara menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sekali beri yang dikreditkan ke MyKad bermula hari ini.

Pekerja kilang Norisa Ramli, 36, berkata beliau gembira menerima bantuan SARA hari ini kerana dapat menggunakannya untuk membeli barangan keperluan harian memandangkan gaji bulanannya masih belum diterima.

“Pemberian bantuan kali ini memang tepat pada masanya sebab gaji bulan ini belum masuk. Untuk hari ini, tebus bantuan yang suami punya dahulu untuk beli barang seperti susu, tepung, sos cili dan nanti bulan berikutnya baru akan gunakan saya punya,” katanya kepada Bernama di Pasar Raya ST Rosyam Mart di sini hari ini.

ORANG ramai membeli barangan keperluan asas di pasar raya menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang disalurkan mulai hari ini. Foto Bernama

Sementara itu, Hasan Abdul Ghani, 76, berkata sebahagian bantuan itu akan digunakan untuk membantu golongan lebih memerlukan sebagai cara berkongsi rezeki.

“Saya hanya tinggal berdua dengan isteri, jadi saya akan gunakan bantuan yang diberikan untuk membeli keperluan kami sekeluarga dahulu dan selebihnya disumbangkan kepada orang yang lebih memerlukan,” katanya semasa ditemui di Mydin Subang Jaya, dekat sini. 

Selain itu, Pengurus Besar Operasi Mydin Subang Jaya S. Vishnu Varthana berkata Mydin cawangan itu telah menyediakan 20 kaunter dilengkapi mesin pengimbas MyKad yang disediakan oleh Yayasan MyKasih bagi melancarkan proses pembayaran.

Di Perak, seorang warga emas Yong Chee Seng, 68, dari Kampung Baru MTD, Batu Gajah berkata bantuan itu memberi sedikit kelegaan kepadanya dalam menguruskan perbelanjaan bulanan, termasuk bayaran sewa dan bil utiliti.

“Dengan RM100 itu, saya boleh beli beras 10 kilogram, gula, minyak masak, sardin, susu tin dan macam-macam lagi barangan yang kami perlukan.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, ia cukup membantu. Setidak-tidaknya ada peruntukan khas untuk beli barang asas tanpa usik duit bulanan,” katanya.

ORANG ramai membeli barang keperluan bagi memanfaatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 dengan membeli barangan keperluan harian semasa tinjauan di pasar raya hari ini. Foto Bernama

Di Kelantan, peniaga kecil dari Pasir Puteh Mohd Azlan Salleh, 42, berkata bantuan itu membolehkannya berjimat dan merancang perbelanjaan bagi keperluan lain. 

“Bila barang asas sudah ditampung melalui bantuan SARA, duit tunai saya boleh digunakan untuk keperluan lain termasuk persekolahan anak. Lebih menggembirakan, kedai runcit kampung juga terlibat, jadi orang luar bandar tidak terpinggir,” katanya.

Di Perlis, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Nur Ayuni Shahalim, 25, berkata bantuan SARA yang diterimanya membolehkan beliau membeli barangan makanan sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan bulanannya.

“Sebagai pelajar, bantuan ini memang sangat membantu saya menguruskan kewangan bulanan,lebih-lebih lagi dengan keadaan kos sara hidup ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penjawat awam Nurul Aida Othman, 37, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau terhadap keperluan harian rakyat menerusi pemberian sumbangan itu.

Seorang pemandu lori di Sarawak, James Gadul, 49, pula berkata beliau merancang menggunakan bantuan berkenaan pada Disember nanti bagi menampung perbelanjaan sempena sambutan Krismas.

“RM100 ini walaupun nampak kecil, tapi saya simpan dulu untuk Krismas, sekurang-kurangnya boleh kurangkan belanja masa perayaan,” katanya.

SARA RM100 adalah bantuan tunai sekali bayar yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini.

-Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman