SIBU: Bantuan wang ringgit kepada mangsa banjir akan diberi kepada keluarga yang benar-benar terjejas, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata misalnya mereka yang kehilangan harta benda atau tidak boleh dipakai lagi kerana rosak akibat banjir.
Bagaimanapun katanya, pemberian bantuan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah atas budi bicara Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di peringkat kawasan masing-masing.
“Kalau mereka tidak begitu terjejas, jadi kita berilah keutamaan kepada keluarga yang benar-benar terjejas iaitu banyak harta benda mereka hilang atau tidak dapat dipakai lagi, ini kita serah kepada sekretariat.
“Setiap bahagian mempunyai Residen untuk menilai keadaan dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Ya, memang peruntukan yang diberi untuk membantu mereka yang berpindah dari rumah dan saya telah menambah peruntukan, dimana saya telah mengumumkan RM10 juta kepada JPBN Sarawak.
“Kalau mereka di rumah panjang terjejas banjir tapi mereka tidak berpindah sebab rumah panjang itu bertiang. Kita serah kepada pihak petabiran di bahagiannya, ada Residen untuk menilai dan ia akan diputuskan oleh Uggah selaku Pengerusi JBPN Sarawak, ini semuanya atas budi bicara.
“Tetapi sepertimana saya umumkan semalam, kalau peruntukan yang saya tambah RM10 juta tidak mencukupi, kita melihat pandangan daripada JPBN Sarawak dan akan kita bincangkan dalam Kabinet Sarawak membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman Kaunselor Raymond Tiong, di sini petang tadi.
Abang Johari juga berkata kejadian banjir di Sibu adalah tidak seteruk seperti yang berlaku di Bintulu dan Miri.
“Ya, saya nampak bahawa Sibu lebih baik dari Bintulu dan Miri. Selalunya musim banjir ini Sibu yang terjejas. Tetapi kali ni nampaknya, ada banjir tapi tidak seteruk di Miri dan Bintulu,” katanya.
Abang Johari juga memberitahu, kerajaan Sarawak akan membaiki jalan-jalan di Sibu termasuk jalan baharu di Sibu Jaya ke Jalan Lanang (Jalan Kong Yit Khim).
“Dan nampaknya disebabkan jalan baru ini, Jalan Salim mengalami kesesakkan lalulintas. Jadi kita akan melihat semula jalan-jalan baru yang kita bina di Sibu ini,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING