BARIO: Bantuan pantas Tentera Darat Malaysia (TDM) daripada unit Tentera Darat di bawah Formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia membantu memadam kebakaran di kawasan sawah berhampiran Jalan Penghulu Lawai, Bario semalam.
Menurut kenyataan dari Formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia, kejadian bermula sekitar jam 5 petang.
Katanya, dua anggota Bomba Sukarela Bario tiba di Pos Bario untuk memohon bantuan bagi memadamkan kebakaran di kawasan sawah yang terletak kira-kira 2 kilometer dari pos tersebut.
“Bertindak balas terhadap permintaan ini, pasukan Batalion Keenam Rejimen Sempadan (6 RS) yang berada di bawah kawalan operasi Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (MK 9 Bgd) segera bergerak ke lokasi kebakaran.
“Operasi pemadaman kebakaran diketuai oleh Leftenan Muhammad Haziq Aiman Zainudin yang memimpin empat anggota Tentera Darat bersama Pasukan Bomba Sukarela Bario.
“Penduduk setempat turut membantu dalam usaha memadamkan kebakaran ini, dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa 30 minit, dengan operasi tamat pada jam 5.45 petang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Panglima 9 Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Ahmad Norzaini Badrun, mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi ini.
Beliau juga menegaskan komitmen Tentera Darat Malaysia untuk sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa awam dan masyarakat, di samping menjalankan tanggungjawab utama mengawal keselamatan persempadanan negara.
“Dengan kejayaan memadamkan kebakaran ini, TDM membuktikan bahawa mereka sentiasa bersiap siaga dan komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, selain terus mengukuhkan hubungan dengan agensi-agensi awam dan komuniti tempatan,” katanya.