Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang
ringankan beban pesakit
HAINI DARANI
Didiagnosis dengan penyakit buah pinggang tidak ubah seperti dihempap beban berat secara tiba-tiba bagi sesetengah orang, terutama yang berhadapan dengan masalah kewangan.
Apabila buah pinggang tidak mampu lagi menjalankan fungsinya, maka kerjanya harus diganti dengan mesin hemodialisis. Rawatannya pula perlu dilakukan secara berkala dengan kos yang amat membebankan.
Menyedari penderitaan yang ditanggung oleh pesakit-pesakit buah pinggang, Sarawak memperkenalkan bantuan untuk golongan ini bagi meringankan beban yang mereka tanggung.
Rekod daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) pada tahun 2018 menunjukkan terdapat 3,317 orang pesakit buah pinggang di negeri ini.
Daripada jumlah tersebut, 2,920 orang menjalani rawatan hemodialisis, 275 orang menjalani Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan selebihnya telah menjalani pemindahan buah pinggang.
Jumlah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis semakin meningkat dengan anggaran 250 pesakit baharu setiap tahun. Bagi pesakit yang menjalani transplan, jumlahnya dianggarkan empat kes setahun.
Bagi golongan berpendapatan rendah, apatah lagi jika dari kawasan luar bandar, kos rawatan dan pengangkutan menjadi beban lantaran perlu menjalani sesi rawatan kerap.
Biasanya rawatan haemodialisis perlu dilakukan tiga kali seminggu, manakala CAPD berterusan bagi tempoh 24 jam/7 hari dengan purata pertukaran cecair dialisis empat kali sehari dan rawatan hanya terdapat di pusat rawatan kerajaan.
Sebelum ini tiada bantuan khas bagi pesakit buah pinggang yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak. Pihak JKNS hanya dapat memberi bantuan am bulanan atau bantuan pesakit kronik terlantar berjumlah RM200 hingga RM300 sebulan. Jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan bulanan pesakit buah pinggang.
BANTUAN KHAS
Bermula tahun 2020, bantuan khas pesakit buah pinggang yang dilaksanakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
Bantuan ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban pesakit buah pinggang di Sarawak yang memerlukan rawatan untuk penyakit buah pinggang iaitu hemodialisis, Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Pemindahan atau Transplan Buah Pinggang.
Bantuan yang diberikan merangkumi bantuan klinikal dan bantuan sokongan.
Bantuan klinikal merujuk kepada pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF); suntikan Erythropoietin (EPO); rawatan Hemodialisis dan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).
Sementara itu, bantuan sokongan merujuk kepada bantuan mesin, bantuan pengangkutan dan bantuan transplan.
Bantuan mesin merujuk kepada penempatan mesin hemodialisis di pusat rawatan sahaja, dengan keutamaan di pusat rawatan kerajaan dan tidak termasuk kos penyelenggaraan mesin.
Bantuan akan diberhentikan serta merta sekiranya pesakit tidak hadir untuk menerima rawatan sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa makluman, disahkan meninggal dunia atau sekiranya pihak JKMS mendapati pesakit tidak lagi layak mendapat bantuan dengan pengesahan menerusi lawatan tinjauan ataupun pengesahan dari pusat rawatan; dan
Bantuan pengangkutan memberi keutamaan untuk pesakit di kawasan luar bandar, manakala bantuan transplanmerangkumi kos penginapan dan pengangkutan bagi pesakit yang dalam proses pemulihan setelah menjalani pemindahan buah pinggang di Semenanjung Malaysia dengan syor daripada Pakar Nefrologi Kerajaan sahaja.
KRITERIA KELAYAKAN
Bantuan ini dibuka kepada anak Sarawak tetapi bukan penjawat awam, pesara dan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Tiada had umur dikenakan dan pemohon mestilah tergolong dalam kumpulan B40 atau M40 dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,020.00 sebulan atau mengikut paras garis kemiskinan (PGK) semasa.
Pemohon juga tidak mendapat subsidi rawatan dan bantuan pengangkutan daripada mana-mana agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan atau pemohon adalah penerima bantuan tetapi masih memerlukan bantuan sokongan seperti bantuan pengangkutan.
Oleh Haini Darani