KUCHING: Usaha menangani kemiskinan di Sarawak diperhalusi dengan pelbagai bantuan dan insentif yang dikemukakan oleh kerajaan.
Menurut Menteri Kebajikan Kesejahteraan komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, peruntukan sebanyak RM 2,114,900 akan disalurkan kepada 702 penerima dari kawasan Layar.
“Majoriti kategori bantuan pembiayaan bulanan di bawah bantuan Kerajaan Persekutuan meningkat di bawah matlamat pertama kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Sarawak juga turut membantu menambah pembiayaan bulanan ini bagi kategori bantuan kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak bekerja sebanyak RM 50,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu.
Menjawab soalan tambahan mengenai pecahan kategori penerima di kawasan itu, fatimah berkata terdapat 197 penerima bantuan am, kanak-kanak seramai 78 orang, 297 warga emas, 23 pekerja cacat, OKU dan 25 pesakit kronik, dan 82 OKU yang tidak boleh bekerja.
“Kerajaan Sarawak juga menyediakan dua jenis bantuan bulanan iaitu Bantuan Am (BA) untuk keluarga miskin yang tidak meliputi di bawah mana-mana skim bantuan.
“Bantuan Belia atau Beliawanis (BBB) juga di bawah Kerajaan Sarawak sepenuhnya bagi membantu anak-anak yang tercicir dari persekolahan serta menganggur atau bekas penghuni institusi kebajikan untuk mendapat kemahiran atau latihan sambil bekerja sebanyak RM 200 sebulan,” terangnya.
Sehingga Oktober lalu, sumbangan Kerajaan Sarawak adalah berjumlah RM 30,093,870.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menyediakan peruntukan untuk Program Pembangunan Latihan Kemahiran dan Kerjaya bagi anak-anak penerima bantuan kebajikan dan ini adalah satu cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.