Bantuan katil pesakit boleh laras ringankan beban warga emas dan keluarga

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
CHIEN Suok Kiew baring di katil pesakit boleh laras yang didermakan oleh Dato’ Sri Huang Tiong Sii. Foto Pusat Khidmat Repok

SARIKEI: Keprihatinan terhadap kebajikan golongan warga emas terus diberi perhatian apabila dua wanita warga emas menerima bantuan katil pesakit boleh laras bagi membantu memudahkan urusan penjagaan harian.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan, khususnya warga emas yang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan penjagaan rapi di rumah.

Katanya, bantuan katil pesakit boleh laras bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah dapat meringankan beban ahli keluarga yang menjaga mereka setiap hari.

“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan saya, terutama golongan warga emas yang memerlukan perhatian dan penjagaan khusus.

LU Poh Ing (baring) bergambar bersama ahli keluarganya dan kakitangan Pusat Khidmat Repok. Foto Pusat Khidmat Repok

“Saya berharap bantuan seperti ini dapat memberikan sedikit keselesaan kepada penerima dan memudahkan urusan penjagaan oleh ahli keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dua penerima bantuan tersebut ialah Lu Poh Ing, 88, yang menetap di Jalan Jelutong dan Chien Suok Kiew, 95, dari Taman Lian Soon.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak dipinggirkan serta terus menerima sokongan sewajarnya.

“Bantuan katil pesakit boleh laras telah diserahkan kepada penerima oleh kakitangan Pusat Khidmat Repok selaku wakil saya, baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, usaha membantu rakyat khususnya warga emas, pesakit terlantar dan golongan kurang berkemampuan akan terus diperkasakan.

Oleh Earl Anek