
NIBONG TEBAL: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 bagi setiap murid mesti diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapa tanpa sebarang potongan untuk digunakan bagi persiapan persekolahan anak-anak.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sebarang rancangan atau bayaran lain seperti yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu diselesaikan secara berasingan dan bukan menerusi potongan BAP.
“RM150 ini memang Kerajaan MADANI peruntukan untuk persiapan sekolah. Jadi, RM150 ini hanya untuk bantuan persekolahan dan mesti diserahkan dengan jumlah RM150.
“Jika ada ibu bapa yang tidak terima RM150 ini, (walaupun) kurang sepuluh sen, (atau) kurang seringgit, kena beritahu kita (Kementerian Pendidikan) kerana tidak boleh berkurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di sini hari ini.
Fadhlina berkata kerajaan telah memperuntukkan lebih RM800 juta bagi pelaksanaan BAP tahun ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan 6 di seluruh negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyerahan BAP setakat ini berjalan lancar, dengan kebanyakan ibu bapa hadir untuk mengambil bantuan berkenaan berikutan minggu pertama sesi persekolahan menyaksikan ramai mengambil cuti bagi menghantar anak-anak ke sekolah.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga berharap dapat menyelesaikan agihan bantuan tersebut dalam minggu ini berikutan kebanyakkan daripada lebih 10,000 sekolah yang terlibat, telah menerima peruntukan untuk diagihkan segera.
Terdahulu, Fadhlina menyerahkan BAP berjumlah lebih RM34 juta yang memberi manfaat kepada lebih 227,000 murid sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa menandatangani Polisi Perlindungan Murid di sekolah, selewat-lewatnya minggu hadapan.
Beliau berkata polisi berkenaan merangkumi aspek pencegahan buli, gangguan seksual, penderaan serta isu kesihatan mental murid.
Semalam, Fadhlina berkata KPM komited menangani isu buli di sekolah dan semua pihak akan menandatangani Polisi Perlindungan Murid, sebagai janji untuk menjaga, memelihara, dan melindungi anak-anak di sekolah. – Bernama