Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Bantuan Awal Persekolahan akan diagihkan lebih awal mulai tahun depan – Fadhlina
  • PENDIDIKAN

Bantuan Awal Persekolahan akan diagihkan lebih awal mulai tahun depan – Fadhlina

Utusan Sarawak 18 hours ago
MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan sumbangan persekolahan kepada para penerima pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini. Turut sama, timbalanya Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Dr. Mohd Azam Ahmad. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan komitmennya untuk mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan selepas menerima rungutan daripada ibu bapa berhubung bantuan tahun ini yang hanya mula diedarkan pada minggu pertama persekolahan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengakui pihaknya ada menerima rungutan berkaitan bantuan berkenaan.

“Kebetulan tahun ini kita baru sahaja memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kami terima.

“Mulai tahun hadapan, kami akan terus perbaiki dan saranan itu kami ambil secara serius. Maknanya (BAP) diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPM di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam tahun ini. 

Ibu bapa dikehendaki hadir di sekolah untuk menerima bantuan berkenaan seawal 11 Januari ini.

BAP adalah bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan. 

Bagi tahun ini, penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa.

“Saya harap ibu bapa ambil RM150 ini untuk keperluan sekolah dan datang ke sekolah ambil bantuan serta berjumpa dengan guru untuk mendengar laporan dan juga saranan mengenai anak-anak kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Jemaah Menteri pada petang ini akan membincangkan jangkaan berlaku kenaikan tambang bas sekolah. 

“Saya akan bawa dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri mengenai perkara ini dan keprihatinan itu untuk kami melihat secara keseluruhannya,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlaku kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Keperluan PT3, UPSR dikaji semula – Fadhlina
Next: Hanya 28.94 peratus sekolah mempunyai CCTV berfungsi, KPM ambil langkah segera – Fadhlina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.