BINTULU: Lima rumah di MLNG Housing, Fasa 2, Jalan Abang Usop, Kidurong musnah dalam satu kejadian kebakaran lewat malam 31 Mei lalu, ketika orang ramai masih dalam suasana sambutan Gawai Dayak.
Susulan insiden tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi segera turun padang bagi meninjau lokasi kejadian serta menyantuni mangsa yang terlibat.
Menurut Majang, berita duka ini amat menyentuh perasaannya, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku sewaktu masyarakat Dayak sedang meraikan Gawai Dayak.
“Ia tentunya satu ujian yang sangat berat bagi keluarga yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, Majang turut diiringi oleh wakil Pejabat Daerah Bintulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meninjau keadaan semasa dan membincangkan bentuk bantuan segera yang boleh disalurkan.
“Kami sedang mengusahakan bantuan awal, termasuk penempatan sementara dan sokongan emosi kepada mangsa agar mereka tidak dibiarkan menghadapi dugaan ini bersendirian,” jelasnya.
Majang turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, khususnya pasukan bomba yang bertindak pantas mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.
“Saya amat menghargai kecekapan dan dedikasi semua anggota barisan hadapan termasuk PDRM, BOMBA, APM, dan JKM yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penduduk,” tambahnya.
Majang juga mendoakan agar semua mangsa terus tabah dan diberikan kekuatan untuk membina semula kehidupan mereka.
Setakat ini, katanya, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai, justeru, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, khususnya ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan penggunaan elektrik dan aktiviti memasak.