KUCHING: Tanggungjawab membantu negeri miskin adalah peranan Kerajaan Pusat, bukan tanggungjawab kerajaan negeri, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, pendapatan meningkat kerajaan negeri digunakan terlebih dahulu untuk kebajikan rakyat Bumi Kenyalang kerana pendapatan isi rumah masih rendah.
Malah katanya, hasil seperti cukai petroleum, cukai korporat, termasuk dari Petronas dan kontraktornya, semuanya masuk kantung Kerajaan Persekutuan.
“Kita ini negeri, bukan Kerajaan Persekutuan. Yang sepatutnya menolong negeri miskin itu tugas Kerajaan Persekutuan yang mendapat hasil cukai petroleum, cukai korporat, termasuk dari Petronas dan kontraktornya,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Sarawak, yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu negeri yang mundur untuk membangun.
Dalam wawancara bersama sebuah portal berita di Kuala Lumpur semalam, bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata bahawa Sarawak sudah menjana banyak wang dengan belanjawan RM11 bilion sangat tinggi, berbanding Kedah, yang bajetnya hanya RM700 juta.
Abang Johari berkata walaupun Sarawak kini berada dalam kedudukan ekonomi yang stabil dan membangun pesat, negeri ini hanya menerima sedikit hasil daripada Cukai Jualan Negeri (SST) produk petroleum.
Sebaliknya, kebanyakan hasil dari cukai korporat dan dividen Petronas terus ke kantung Kerajaan Pusat.
“Sarawak kini membangun kerana kita uruskan dengan baik. Sebab itu kita menjadi negeri berpendapatan tinggi. Namun, pendapatan isi rumah kita masih rendah. Oleh itu, kita harus fokus untuk membantu rakyat kita sendiri,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran persidangan Sarawak Sustainability Insights (SSI) di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Mengulas mengenai perbandingan yang dibuat antara Sarawak dan Kedah, Abang Johari menegaskan bahawa ia tidak wajar, memandangkan Sarawak jauh lebih luas.
“Kedah hanya sebesar kawasan Baram di Sarawak. Kita ini sama luas dengan Semenanjung. Jadi, perbandingan seperti ini tidak seharusnya dibuat,” katanya.
Abang Johari turut menekankan bahawa terdapat banyak isu di Sarawak yang masih perlu diselesaikan, terutamanya dalam aspek kemudahan asas di kawasan pedalaman.
“Banyak sekolah kita masih uzur dan Sarawak sendiri yang menanggung kos baik pulihnya. Kita juga membina jambatan, jalan raya, bekalan air dan elektrik untuk rakyat kita sendiri.
“Orang kampung kita masih banyak masalah. Kita tolong mereka dahulu sebelum kita fikir untuk bantu orang lain,” tambahnya.
Dalam wawancara itu juga, Dr Mahathir antara lain juga dipetik sebagai berkata: “kita harus ingat bahawa Malaysia sebuah persekutuan. Negeri yang lebih kaya mesti kongsi kekayaan dengan yang lebih miskin.
“Pada mulanya, sudah tentu, Sarawak dan Sabah miskin, dan Kerajaan Persekutuan terpaksa bantu mereka. Kini, mereka tidak lagi miskin, dan sudah tiba masanya mereka bantu negeri yang lebih miskin,” kata Dr Matathir.
Oleh SHAHRUL QAIZAT