ANGKAT SUMPAH… Dato Chieng Buong Toon mengetuai para ahli SUPP Cawangan Bukit Assek di Sibu ketika
majlis angkat sumpah sambil disaksikan oleh Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
SIBU : Semangat bersatu padu dan kerjasama yang erat di kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini sangat diperlukan bagi membantu meneruskan usaha Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menuntut haknya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian menegaskan semangat dan kerjasama tersebut bukan sahaja untuk satu-satu kawasan malah ia meliputi keseluruhan rakyat Sarawak.
Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPPI berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah begitu penting kerana ia merupakan peluang terakhir bagi rakyat di negeri ini untuk menuntut hak yang selaras dengan MA63.
Sim berkata demikian ketika berucap sebelum menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek dan SUPP Cawangan Dudong 2022 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
“Hak-hak Sarawak yang terhakis itu begitu memerlukan suara yang kuat serta padu dari GPS di Parlimen bagi menuntutnya.
“PRU-15 ini adalah begitu penting buat kita semua di Sarawak. Dengan itu, kita amat memerlukan sokongan padu rakyat Sarawak untuk bersatu dan memberikan mandat kepada GPS. Ini sahajalah yang kita ada untuk menuntut balik hak kita,” tambahnya.
Beliau berkata, sekarang rakyat di Sarawak dapat menikmati pelbagai jenis pembangunan hasil daripada pendapatan negeri melalui cukai minyak dan gasnya.
“Di Sibu, satu projek besar sedang dirancang dan akan dilaksanakan. Ini adalah usaha keras Premier Sarawak kita yang begitu bijak dalam mencari jalan serta ikhtiar bagi mendapatkan dana tambahan untuk menampung pembangunan di negeri Sarawak ini.
“Sekiranya hak-hak kita dikembalikan, rakyat Sarawak akan menikmati lebih banyak lagi pembangunan hasil daripada pendapatan dan kuasa kita mengikut MA63,” tegasnya.
Sementara itu, Sim yang juga merupakan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa kepada semua ahli parti agar kekal setia bersama parti dalam berkhidmat kepada rakyat.
Tambah beliau, ahli parti hendaklah sentiasa berjuang dalam apa jua keadaan dan tidak kenal jemu bersama parti.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli parti kita yang telah berkorban dan masih tetap setia bersama kita hingga ke hari ini. Parti hendaklah berfungsi baik dalam masa yang sukar dan senang,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang, ADUN Bukit Assek yang Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Tanjung Batu Johnny Pang, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong, Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon dan pengerusi pengelola majlis Jason Tay.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR